Tidak Ada Makna Permohonan Maaf Mohamaddin Ketapi, Wajib Ditolak – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Sept. – “Tidak ada makna permohonan maaf Mohamaddin Ketapi, calon Warisan DUN (Dewan Undangan Negeri) Segama yang menghina 12 orang wira negara, tentera dan polis,” bidas Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian susulan permohonan maaf Mohamaddin kepada anggota keselamatan berhubung video mempersenda mereka yang tersebar sebelum ini.

“Sebagai mantan Menteri Pertahanan ketika itu yang turun ke ‘Ground Zero’ dan kawasan operasi, tidak boleh menerima ucapan yang sangat tiada adab. Dia wajib ditolak,” tegasnya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Dilaporkan, Mohamaddin yang juga mantan Menteri Pelancongan kerajaan Pakatan Harapan (PH), dipetik berkata pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 hanya satu sandiwara.

Dalam satu video tular di media sosial, Mohamaddin yang juga pemimpin Parti Warisan menerusi ucapan semasa berkempen sebagai calon DUN Segama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mengatakan serta menganggap anggota-anggota keselamatan sebenarnya bukan ‘berperang’ dengan pengganas sebaliknya hanya ‘berperang’ dengan ayam dan anjing.

Ketika peristiwa pencerobohan Lahad Datu oleh tentera Sulu yang datang dari Filipina, seramai 10 orang anggota komando dibunuh oleh pengganas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.