Pemuda UMNO Sabah Kecam Kenyataan Berbaur Hasutan Mohamaddin, Gesa Tindakan Diambil

LAHAD DATU, 21 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah dan Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah mengecam kenyataan berbaur hasutan yang telah dikeluarkan oleh Mohamaddin Ketapi, calon Warisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama yang telah menghina juga memperlekeh perjuang-pejuang keselamatan negara yang telah berkorban mempertahankan kedaulatan rakyat Negeri Sabah pada peristiwa Tanduo, Lahad Datu.

Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat ke atas Mohamaddin ekoran daripada dakwaan yang dibuat menerusi ucapan dalam kempennya.

Tindakan ini telah dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Francis @ Adam Danial, 41 bersama-sama barisan pemuda tempatan termasuklah Naib Pesuruhjaya PAS Lahad Datu, Kasman Karate.

Hal yang sama telah dilakukan oleh Pemuda UMNO Kalabakan yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Aslan Fadli Samsul Alang yang turut disertai Ketua UMNO Bahagian Kalabakan merangkap Calon BN DUN N71 Kukusan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah membuat satu laporan polis terhadap Datuk Mohamaddin Ketapi atas dasar penghinaan kepada barisan anggota keselamatan negara dan mendesak satu tindakan di bawah Akta Hasutan dilaksanakan segera.

“10 nyawa wira negara telah terkorban, pada satu episod hitam dalam sejarah negara tetapi bekas Menteri Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi calon Warisan, dengan mudahnya mempersenda jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota keselamatan negara.

“Lebih menyedihkan lagi, apabila dia telah menyatakan bahawa ini hanyalah sandiwara politik dan menyamakan peperangan pejuang negara seperti berperang dengan ayam, anjing dan bukanlah peperangan yang sebenar.”

Katanya, kenyataan ini dipercayai telah menambah luka isteri, anak dan keluarga anggota keselematan negara yang telah terkorban dan sekaligus mencalar imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan semua yang terlibat melawan pengganas di Lahad Datu, 2013 lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.