Kembalikan Mandat BN Untuk Bela Rakyat, Jangan Tertipu Lagi – Sharkar

KALABAKAN, 21 Sept. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata tanggungjawab pengundi yang mendapat mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini adalah untuk mengembalikan semula kuasa parti sebenar untuk membela rakyat iaitu Barisan Nasional (BN).

Katanya, selama 27 bulan rakyat telah tertipu dan tersalah pilih akibat terpengaruh dengan janji-janji manis namun kali ini peluang muncul untuk ‘ubah balik’.

“Sekarang terserah kepada rakyat siapa yang akan memerintah atau kemudi Sabah dengan melihat perkembangan angin perubahan yang sedang berlaku berdasarkan kepada siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pernah berlangsung sebelum ini.

“PRK kali pertama BN menang bermula di Cameron Hinghlands dengan kemudiannya berjumlah tujuh PRK kesemuanya menang dalam keadaan bergaya, maka di Sabah ambil ini sebagai iktibar kerana Parti Warisan di sini telah ditolak.

“Pakatan Harapan (PH) yang bertahan 22 bulan, dan Warisan 27 bulan… dulu janji bulan bintang dan akhirnya mereka jatuh kerana mereka berkerajaan bukan atas kemenangan mutlak tapi atas tipu daya yang telah mereka lakukan,” katanya.

Tegas Mohd Sharkar yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pahang, inilah peluang untuk rakyat menghukum kerajaan PH/Warisan yang gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dan menunaikan janji.

“Mereka boleh berjanji macam-macam… Ketua Menteri janji setiap orang kalau menang nak bagi lima ekar tanah sedangkan selama 27 bulan mereka memerintah tak ada pun bagi tanah pada rakyat.

“Bayangkan jumlah penduduk Sabah dan Warisan janji nak bagi setiap orang lima ekar… tanah mana yang dia nak bagi sedangkan Sabah ini penduduknya ramai dan tanahnya dikira dengan keluasan kawasan tak cukup… nak kira Gunung Kinabalu atau hingga ke lautan… siapa nak tinggal di sana maka maknanya ini hanyalah janji manis sebagaimana dulu mereka pernah kata tapi tak tunai.”

Bidasnya, jika sebelum ini anak muda dijanjikan macam-macam perkara tapi apabila menang semuanya tidak ditunaikan.

“Janji anak muda nak hapus PTPTN tapi masih tetap kena bayar walaupun menang. Samalah seperti di Semenanjung kononnya nak hapuskan tol tapi masih juga perlu bayar tol walaupun mereka jadi kerajaan sebelum ini.

“Janji senang bercakap dengan mulut tapi nak tunaikan kena fikir dengan akal, maka kita juga mesti fikir untuk pilih parti yang mana akan memimpin kita,” katanya.

Dalam hal ini beliau menerangkan bahawa BN dulu hanya berjanji hal-hal yang boleh ditunaikan dan realistik.

“Sebab itulah kita minta rakyat untuk sokong calon BN dengan menangkan Chaya (Chaya Sulaiman) di DUN Kukusan dan Andi Muhammad Suryady Bandi di DUN Tanjung Batu agar dapat membantu kerajaan baru dan ‘Ubah Balik’,” katanya lagi.

Beliau selaku pemimpin Pahang yang menjadi ‘bapa angkat’ Bahagian Kalabakan berkata demikian dalam ucapan sempena Ceramah Umum BN di Kampung Seri Menanti PDM Padang Terbang, semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.