Jangan Ulang Kesengsaraan Di Bawah Warisan, ‘Ubah Balik’ Pilih BN – Chaya

KALABAKAN, 21 Sept. – Rakyat sudah merasakan kesengsaraan di bawah pentadbiran Parti Warisan sebagai kerajaan maka jangan ulangi lagi detik-detik itu, kata calon Barisan Nasional (BN) DUN N70 Kukusan, Chaya Sulaiman.

Katanya rakyat Sabah sudah merasa penipuan dengan ‘Sabah Ubah’ maka Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah masa terbaik untuk ‘Ubah Balik’.

“Kita sudah rasa ketidakstabilan ekonomi, keperitan hidup dan lain-lain, jadi pastikan BN menang dan boleh seiring dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan berkata demikian dalam ucapan sempena Ceramah Umum BN di Kampung Seri Menanti PDM Padang Terbang, semalam.

Ujarnya, beliau sebagai orang lama dalam perjuangan UMNO amat memahami bahawa tugas sebagai wakil rakyat bukan mudah.

“Amanah ini bukan satu tugas yang mudah tapi insya-Allah saya akan jalankan tanggungjawab, tuan-tuan dan puan-puan juga sudah kenal saya jadi saya mohon kepada tuan-tuan dan puan-puan semua untuk mengundi saya. Bulatkan tekad, satukan hati undilah BN.”

Dalam masa yang sama, Chaya yang merupakan satu-satunya calon Wanita UMNO untuk PRN kali ini turut bertekad akan berusaha bagi memastikan permintaan serta keperluan penduduk di Kampung Seri Menanti direalitikan sekiranya menang kelak.

“Insya-Allah saya akan cuba perbaiki dan pertingkatkan apa yang perlu. Insya-Allah sekiranya saya menang kelak saya akan perjuangkan usaha untuk naik taraf kawasan ini sebagai sebuah perkampungan. Inilah perkara utama yang akan didahulukan, soal perparitan dan masalah tong sampah juga… tong sampah soal kecil dan akan disegerakan… jika menang hari ini esok juga akan di hantar,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak anggota jentera untuk meningkatkan gerak kerja dan pastikan semua pengundi di kampung terbabit dikenalpasti seterusnya mengundi BN pada 26 Sept nanti.

Turut bertanding di DUN Kukusan ialah calon Parti Cinta Sabah (PCS) Ismail @ Taufik Muin, Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta Rosdiansah Mohd Nor dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS). – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.