Hina Anggota Keselamatan: Melampau Dan Keterlaluan – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Wanita UMNO Malaysia mendesak Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian Lahad Datu.

Ujar Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad, apa yang diucapkan oleh Mohamaddin ketika berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sesuatu yang keterlaluan dan melampau.

“Wanita UMNO berasa kesal dengan ucapan Mohamaddin mempersendakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjuang dalam peristiwa menyayat hati Lahad Datu.

“Ucapannya sudah keterlaluan dan melampau kerana ia pastinya mengguris hati ahli keluarga yang terlibat dalam peristiwa berdarah tersebut.

“Kejadian pada tahun 2013 itu bukanlah sandiwara politik seperti yang diperkatakan malah ia adalah lambang betapa besarnya pengorbanan anggota keselamatan dalam menjaga keselamatan negara ini. Nyawa mereka menjadi galang ganti demi sebuah keamanan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Noraini yang juga merupakan Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Parit Sulong mempersoalkan adakah pengorbanan yang amat besar ini wajar dihina sedemikian rupa?

Justeru, Wanita UMNO mengecam sekeras-kerasnya apa yang diperkatakan oleh Mohamaddin.

“Saya pasti, ahli keluarga mangsa begitu terluka dengan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu,” tegas beliau.

Untuk rekod, video berdurasi 1.08 saat itu tular hari ini dan ia mendapat kecaman teruk malah ada pihak yang telah membuat laporan polis. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.