Hina Anggota Keselamatan: Pihak Berwajib Digesa Ambil Tindakan Terhadap Mohamaddin

KUALA LUMPUR, 21 Sept – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang mengeluarkan ucapan melampaui batas berbaur penghinaan terhadap anggota keselamatan yang sanggup menggadai nyawa demi pertahankan kedaulatan negara.

Malah jelas beliau, Mohamaddin juga harus memohon maaf secara terbuka kepada ahli keluarga yang terlibat dalam kejadian peristiwa berdarah Lahad Datu.

“Semua ahli politik boleh berbeza pandangan dan mempunyai ruang untuk meraikan demokrasi tetapi ada hadnya apatah lagi bila melibatkan isu keselamatan negara.

“Video tular berkaitan ucapan ahli Parlimen Lahad Datu ketika berkempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, ia melampau dan keterlaluan. Ucapan beliau dalam video tersebut menghina pihak keselamatan negara iaitu polis, tentera yang terlibat dalam kejadian serangan pengganas di Lahad Datu ketika itu.

“Maka, saya amat berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan terhadap ucapan beliau bagi memperlihatkan ketegasan kita dalam menangani isu melibatkan keselamatan negara,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tawfik, hal keselamatan bukan isu kecil yang boleh dijadikan bahan kempen politik murahan sehingga ditertawakan.

“Inilah cerminan imej bekas menteri era Pakatan Harapan (PH) yang sangat menjengkelkan dan merosakkan semangat cinta negara apatah lagi kita masih dalam mood sambutan menyambut hari kemerdekaan dan hari Malaysia.

“Tolonglah, berkempenlah dengan sihat dan jangan sesekali bermain dengan api. Fikirlah perasaan ahli keluarga yang terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut. Ada isteri yang kehilangan suami, ibu kehilangan anak, anak kehilangan bapa… sudah pasti kenyataan tersebut membuatkan luka mereka berdarah kembali,” bidas beliau lagi.

Untuk rekod, tarikh 1 Mac 2013 menjadi detik hitam dalam sejarah negara apabila lapan wira tanah air gugur mempertahankan kedaulatan negara di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah.

Kejadian itu menyaksikan dua anggota polis 69 Komando, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud terbunuh manakala, tiga yang lain cedera ditembak. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.