‘Hanya Sandiwara Perang Ayam Anjing Sahaja’: Skala Penghinaan Yang Tak Pernah Dibayangkan

KUALA LUMPUR, 21 Sept – “Penghinaan pada skala yang tak pernah dibayangkan,” bidas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Shahril berkata demikian merujuk kepada tular video ucapan seorang pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) mengulas mengenai tragedi Kampung Tanduo, Lahad Datu dahulu ketika berkempen di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung kini.

“Jika klip ini sahih, bermakna Warisan sudah masuk ke fasa hinaan, hasutan dan penipuan skala yang tak pernah dibayangkan.

“Tengok sendiri: dalam klip video ucapan ini, dilihat bekas Menteri Pelancongan, Ahli Parlimen Lahad Datu dan calon DUN (Dewan Undangan Negeri) Segama, Mohamaddin Ketapi menyifatkan tragedi Kampung Tanduo sebagai “sandiwara” politik. “perang antara ayam anjing sahaja”.

“Sembilan orang pasukan keselamatan dan enam rakyat biasa terbunuh. Ramai lagi yang cedera. Ramai yang masih trauma dan melihat dengan mata sendiri apa berlaku. Tidak ada sesiapa pun baik saksi, media tempatan atau media luar yang ada kesangsian bahawa tragedi, pencerobohan dan perang tersebut benar-benar berlaku,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Tempelak Shahril lagi, bagaimana Mohammadin boleh menuduh peristiwa hitam bagi negara dan negeri Sabah itu merupakan satu sandiwara dan tergamak mengutuk pengorbanan perajurit negara.

“Ini kenyataan gila. Sebelum ini saya menyangka Warisan menghasut secara halus dengan mesej untuk menolak kononnya parti Malaya. Tapi ini sudah masuk kepada kebencian terbuka pada satu tahap yang tak masuk akal.

“Dulu saya sangka Mohammadin Ketapi ini hanya angkuh dan tidak kompeten kerana kita masih ingat dia sombong mengatakan tak perlu tutup sempadan kerana pelancong tidak akan ada penularan COVID-19.

“Rupanya lebih teruk daripada itu… tidak layak langsung memegang apa-apa jawatan awam apatah lagi YB (Yang Berhormat-Wakil Rakyat) atau Menteri,” selarnya lagi.

Justeru tegas Shahril, jelas motto ‘Unity’ yang terpampang di papan iklan serata Sabah tiada nilai langsung.

“’Unity’ apa sehingga menghasut dan menghina rakyat dan wira Malaysia?

“Sewaktu pasukan keselamatan beraksi mempertahan kedaulatan di Tanduo, tidak seorang pun yang fikir saya orang Terengganu ka… saya orang Selangor ka… saya orang Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, pasukan keselamatan itu adalah wira Malaysia yang mempertahankan tanah dan nyawa warganegara dari ancaman luar.

“Ada yang terbunuh. Rakyat tempatan juga ada yang terkorban. Tetapi semua berkongsi kesedihan kerana ini bukan soal sentimen kenegerian.

“Ini soal kedaulatan dan pengorbanan untuk sebuah negara bernama Malaysia dan rakyatnya yang pelbagai.

“Saya syorkan Warisan tukar ‘billboard’ dari ‘Unity’ ke ‘Hate’. Kerana itu sebenarnya modal politik mereka,” bidasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.