BN Lebih Mengutamakan, Mendengar Pandangan Anak Muda – Nizar Najib

JOHOR BAHRU, 21 Sept –  Exco Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Nizar Mohd Najib berkata inisiatif sesi meja bulat adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan input, pandangan dan suara anak muda serta harapan dan inspirasi mereka bagi parti membuat tawaran baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, sebelum ini siri meja bulat telah diadakan di Pahang dan turut berjumpa golongan mahasiswa, pendidik, persatuan belia dan kelompok kecil untuk mendapatkan pandangan, cadangan yang baik dan bernas dan boleh diketengahkan dalam tawaran baharu Barisan Nasional (BN).

“Saya fikir ini adalah satu inisiatif ‘bottom out’ yang begitu penting kerana kita perlu mendengar suara mereka… kita akan merangka sebuah tawaran yang menarik dan mengambil kira harapan dan inspirasi golongan tersebut.

“Jadi, setakat ni Alhamdulillah… kami lihat anak-anak muda penuh sarat dengan idea-idea menarik mengenai peluang pekerjaan, golongan OKU (orang kelainan upaya), perlindungan untuk pekerja, ekonomi dan sebagainya.

“Insya-Allah… kami akan mengambil kira semuanya dan membuat ‘ranking’ dari segi keutamaan daripada golongan anak muda yang mana mereka memberi penekanan dan boleh membantu nasib mereka ketika ini dalam menghadapi ekonomi yang mencabar dan juga menghadapi wabak pandemik COVID-19 yang merbahaya,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian dalam program sesi meja bulat Tawaran Baharu di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sementara itu Nizar juga mengulas mengenai penubuhan parti Muda yang diasaskan oleh bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed  Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Ini adalah satu perkara yang perlu dipandang serius dan memberi penekanan kerana sebagai parti politik sudah tentu kita bersaing dengan parti-parti yang baru termasuk parti yang baru ditubuhkan ini.

“Insya-Allah… kami akan melakukan yang terbaik demi kesejahteraan dan pembelaan anak muda di negara ini supaya mereka dapat menjadi pelapis yang akan memacu Malaysia ke arah negara yang lebih maju dan lebih baik dalam abad 21,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, sebagai parti politik yang telah lama berkecimpung dan memperjuangkan isu-isu anak muda, BN  perlu membuat tawaran baharu yang lebih segar, inklusif, menyeluruh dan menyakinkan.

“BN adalah sebuah parti yang tidak pernah meninggalkan anak muda atau pun memandang rendah mengenai aspirasi atau pun kehendak anak muda,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.