Puteri UMNO Pertahan Tradisi Murut Melalui ‘Alulun Taka Dala Anak Memulok’

TAWAU, 20 Sept. – Barisan Nasional (BN) mengangkat acara tradisi masyarakat setempat untuk terus diperkenalkan kepada golongan muda agar tak hilang ditelan zaman dan menjadi warisan berharga dari satu generasi ke satu generasi.

Sehubungan itu, melalui program ‘Alulun Taka Dala Anak Memulok’ atau Program Santai Bersama Anak Muda, Puteri UMNO Bahagian Tawau telah mendekati masyarakat Murut yang terkenal dengan pakaian dan perhiasan yang bersulam manik.

Bagi Azizah Oley, 33, Puteri UMNO mengangkat program sedemikian untuk menyeru golongan muda agar dapat meneruskan adat tradisi bangsanya.

“Ramai orang muda sekarang tidak tertumpu kepada adat dan Puteri UMNO merasakan bahawa adat ini amat penting khususnya untuk golongan muda yang bukan saja perlu tahu tetapi juga perlu memahami menyulam manik ini adalah adat kepada suku Murut.

“Dengan pendedahan sedemikian, golongan muda akan dapat melihat dan menyelami bagaimana pentingnya tradisi bangsa selain melahirkan minat bagi meneruskan adat ini,” katanya dalam program yang berlangsung di Kampung Serudung Baru, di sini, semalam.

Lebih bermakna apabila program tersebut turut disertai calon BN DUN N67 Balung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Hamild @ Hamid Awang yang turut menyeru golongan muda untuk terus memupuk semangat cintakan budaya tradisi bangsa.

Hal yang tersebut diakui oleh Mazuin Tangar, 36, yang mahir dalam menjahit dan menyulam manik malah telah menunjukkan demonstrasi dalam program ini agar anak-anak muda tahu bagaimana seni menyiapkan manik yang lengkap.

“Menjahit dan menyulam manik ini adalah kerja yang rumit, perlukan tekun dan rajin kerana untuk mendapatkan hasil yang cantik kerja-kerjanya dilakukan dengan teliti dan mengambil tempoh yang panjang,” katanya

Ujarnya, menyulam dan menjahit manik ini adalah acara biasa bagi kaum Murut apatah lagi manik-manik tersebut digunakan sebagai perhiasan untuk acara-acara keramaian seperti perkahwinan dan majlis-majlis keraian.

“Penting untuk kita pertahankan kebolehan menjahit manik ini agar tradisi masyarakat suku Murut ini tidak hilang dan akan kekal jadi warisan,” katanya.

Sementara bagi Shazira Nalini, 34, pula berkata mungkin ada yang melihat menyulam manik ini tidak lebih daripada perhiasan semata-mata, namun sebenarnya ia menggambarkan nilai budaya masyarakat Murut yang sangat tinggi.

“Inisiatif yang dibawa oleh Puteri UMNO ini amat penting bagi memastikan warisan tradisi terus ‘malar segar’ dalam menempuh arus kemajuan serta pembangunan negara,” katanya yang yakin bahawa BN sekiranya berkerajaan kelak juga akan menyokong usaha-usaha bagi memartabatkan seni tradisi rakyat Sabah.

Rakyat sabah akan mengundi pada 26 September ini melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.