PRN Sabah: Kami Menyesal Tinggalkan BN… – Pengundi

KINABATANGAN, 20 Sept – Selama lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, pelbagai kemajuan telah dibawa. Bukan setakat pembangunan tetapi ekonomi rakyat juga dibantu tanpa membezakan fahaman politik dan tidak sekalipun bantuan dihulurkan dengan bertanya ‘anda sokong parti mana’.

Namun, dek kerana fitnah dan propaganda yang dimainkan oleh pihak lawan, akhirnya rakyat terpengaruh dan menolak BN pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14). Itulah detik hitam dalam perjuangan BN… runtuh kerana rakyat terpedaya dengan janji manis, janji bulan dan bintang yang penghujungnya menjerat diri rakyat sendiri.

Rentetan daripada kekalahan BN itu, bukan sahaja ramai pemimpin yang meninggalkan perjuangan UMNO dan BN tetapi penyokong parti juga mengambil langkah yang sama. Mereka mengharapkan kepimpinan baru mampu memberi lebih baik daripada apa yang BN telah lakukan, tetapi sayang ianya hanyalah mimpi indah yang tidak menjadi kenyataan.

Rakyat akhirnya sedar bahawa hanya BN yang terbaik dan 22 di bawah pentadbiran PH adalah sesuatu yang amat menyiksakan.

Mansa Aloi, 67, adalah salah seorang yang mula menyedari bahawa dirinya telah tertipu dengan janji manis pihak lawan. Kini dirinya sedar dan kembali ke perjuangan BN demi kestabilan politik.

“Saya sebelum ini bersama-sama dengan parti PCS. Rupa-rupanya perjuangan saya dalam PCS hanya sia-sia. Pada mulanya memang dialu-alukan dan kerjasama memang cantik tapi selepas itu semua berubah.

“Baru saya nampak wajah sebenar dalam parti. Kini saya menyertai BN sebab saya rasa hanya BN yang boleh membela nasib rakyat. Saya mula nampak pembangunan, jalan raya dan bantuan lain-lain yang BN berikan, langsung tidak memilih, tidak pilih orang. Semasa COVID-19, semua BN beri tidak pilih parti.

“Warisan cakap ada bantuan tapi setahu saya di kampung saya tidak seorang pun yang dapat bantuan. Selain beras dan tepung… bantuan kewangan langsung tidak ada. Sebab itu saya masuk BN sebab hanya BN boleh tolong rakyat,” luahnya.

Seorang lagi yang kembali ke pangkuan BN, Amit Bahari, 60, turut mengakui menyesal meninggalkan BN.

“Dulu saya dengan BN dan kemudian masuk Warisan. Saya menyesal sebab beralih arah, kononnya mahu cari kestabilan ekonomi, cari kerajaan yang boleh menjamin masa hadapan rakyat Sabah tapi rupanya tertipu… BN juga yang boleh membantu rakyat tanpa bertanya anda dari parti mana.”

“Dua tahun dalam Warisan, saya tidak nampak apa yang Warisan buat untuk rakyat. Kita hanya memohon tapi tidak ada kelulusan. Jadi kini saya yakin hanya BN yang boleh diharapkan,” ujarnya.

Inilah antara luahan pengundi di Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah yang telah menyedari perjuangan BN… – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Oleh: Azlina Rosdy

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.