Pemuda UMNO Gesa SPRM Tarik Balik Portal Berbahasa Mandarin

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius pelancaran portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam bahasa Mandarin dengan alasan untuk memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya.

Tegas Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, inisiatif SPRM itu sama sekali tidak boleh diterima dan dianggap merendahkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku salah sebuah institusi utama yang berperanan menjunjung dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan, inisiatif SPRM ini juga jelas bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 yang menyebutkan ‘Bahasa Kebangsaan Hendaklah Digunakan Bagi Maksud Rasmi’.

“Dalam konteks ini umum mengetahui bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Bidas Dr Asyraf lagi, adalah tidak wajar setelah 63 tahun merdeka, SPRM semacam bergerak ke belakang.

“…dan mengandaikan masih ramai tidak faham Bahasa Melayu sehingga terpaksa bertindak memperkenalkan portal berbahasa Mandarin,” katanya.

Justeru ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menuntut agar pihak SPRM dapat mengambil kira suara hati rakyat Malaysia yang rata-rata mahu kerajaan dan pihak SPRM segera menarik-balik portal SPRM berversi Mandarin. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.