Apa Yang Ada Di Dalam Hati Penduduk Bengkoka, Itulah Juga Dalam Hati Saya – Cikgu Harun

KUDAT, 20 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka, Harun Durabi mengajak masyarakat di kawasan berkenaan untuk berada bersama-sama di dalam sebuah perahu yang besar supaya segala manfaat akan dapat dinikmati serta dikecapi masyarakat setempat meliputi pelbagai aspek yang menyeluruh.

Menurut beliau jika asyik dengan ‘Sabahan’ apa yang penduduk setempat dapat merasainya dan apa yang masyarakat DUN Bengkoka akan dapat menikmatinya setelah sebelum ini terdapat bantuan yang dihapuskan termasuklah ada yang dikurangkan.

‘’Saya nak ajak tuan-tuan dan puan-puan semua berada dalam perahu yang besar supaya kita semua ramai-ramai naik dan boleh sampai di tempat yang dituju. Kalau asyik ‘Sabahan’… ’Sabahan’ apa yang kita dapat… apa yang ada… bantuan dikurangkan… bantuan dihapuskan… itu yang kita dapat?

‘’Inilah peluang kita untuk mengubah takhta pemerintahan… peluang ini diberikan secara percuma… Pakatan Harapan tumbang sendiri tanpa kita suruh… janji manis yang mereka taburkan terlampau manis sehingga tidak boleh dimakan dan akhirnya merosakkan parti mereka sendiri,’’ katanya.

Beliau yang lebih dikenali Cikgu Harun seterusnya berkata, apa yang ada di hati penduduk setempat itulah juga yang bermain di dalam minda dan hati beliau selaku anak tempatan kawasan berkenaan.

‘’Marilah kita bersama-sama memajukan kawasan ini dan rakyat di DUN Bengkoka yang merupakan kawasan baru, marilah kita ubah balik. Apa yang penting ianya perlu diurus sebaik mungkin dan insya-Allah saya sedia berkhidmat memajukan kawasan.

‘’Percayalah dan yakinlah… sebagai anak tempatan di sini apa ada di hati tuan-tuan dan puan-puan semua ianya turut berada di hati saya. Berilah peluang untuk saya sebagai wakil rakyat anda semua dan pengundi Bengkoka adalah penentu wawasan bersama dapat dicapai,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.