Warisan Naik Kerana Khianat… Mandat Rakyat PRU-14 Memang Pada BN, Ubah Balik – Asyraf

KALABAKAN, 19 Sept. – Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) merangkap Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa mandat rakyat negeri Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu adalah untuk BN namun bertukar apabila Parti Warisan sanggup mengkhianati rakyat.

Katanya, BN Sabah tidak kalah pada PRU-14 lalu tapi kerana khianat maka kerajaan negeri pimpinan BN ketika itu tumbang.

“Parti Warisan naik kerana khianat, kerana fitnah maka ia juga jatuh akibat perkara sedemikian. Dulu mandat rakyat kepada BN Sabah, bukan Warisan maka kini mereka jatuh akibat daripada perbuatan mereka sendiri.


“Itu janji tuhan, jangan khianat pada orang lain kerana akan dikhianati juga maka tak hairanlah sebab itu Warisan tak kekal lama, dan mereka yang nak buat pilihan raya sedangkan kita tak mahu tapi itu keputusan mereka maka kita ‘radu tatap radu’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Gerak Gempur dan Pengundi Muda Parlimen Kalabakan, semalam.

Ujarnya, BN adalah parti perjuangan dan mentadbir Sabah sebelum ini hingga berjaya mengubah landskap ekonomi dan masyarakatnya.

“Dulu mereka ke mana-mana kata ‘Sabah Ubah’ hingga ramai yang terpengaruh… tapi apa jadi… mereka menipu… janji 45,000 pekerjaan kepada anak muda langsung tak ada.

“Projek yang boleh mendatangkan hasil dan memberi transformasi kepada rakyat dihentikan. Pan Borneo bukan projek murahan atau untuk kroni tapi untuk rakyat yang di dalamnya ada lebih 40,000 peluang pekerjaan.

“Mereka berhentikan projek mega sedangkan kalau ini diteruskan akan beri manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.”

Kata Dr Asyraf, jangan cakap ‘Sabah for Sabahan’ kerana Sabah ini milik rakyat Malaysia yang perlu kerajaan majukan seluruh negara sama dengan negeri-negeri lain.

“Rakyat mahukan perubahan yang lebih baik. Tukar kerajaan dulu ingatkan dapat lebih baik tapi tak ada apa-apa maka hari ini rakyat mahu kembali semula kepada BN.”

Ujarnya, ketika BN diuji dengan bahtera yang sedang belayar di samudera bocor, layarnya koyak, dayungnya patah dan nakhodanya lari meninggalkan kapal sedangkan anak-anak kapal yang ada tidak berbuat demikian.

“Andalah anak-anak kapal itu yang mengemudi kapal untuk berlabuh, layar yang koyak ditampal, yang patah diganti dan yang bocor ditampal untuk kembali belayar semula dan hari ini kapal ini menjadi semakin kuat… maka anda semua adalah pejuang sejati.

“Sewaktu bahtera mahu karam, tak ada yang tinggalkan sebaliknya perbaiki dan hari ini kembali belayar sedangkan ketika itu UMNO kalah, parti tidak ada apa-apa. Ya, sebelum ini ketika parti berkuasa boleh tawar macam-macam… masuk UMNO kerana projek, kerana jawatan… tapi saat kalah tak ada semua itu,” katanya.

Tegas Dr Asyraf lagi, UMNO dan BN bukan parti yang lahir di jalanan, bukan lahir berguling-guling di atas jalan raya, bukan dari perasaan dendam, kecewa, marah dan fitnah.

“Inilah parti perjuangan yang mesti terus dipertahankan. Jika dulu anak muda terpengaruh mahu ubah dan sudah ubah tapi hari ini anak muda tahu yang mereka sudah ditipu.”

Berkaitan dengan jentera pemuda yang bergerak sebagai jentera kempen, katanya Pemuda UMNO memang terkenal dengan gerak gempur.

“Dekati pengundi mereka biarpun di hadapan rumah mereka ada bendera parti lain… kita gempur mereka, tarik undi mereka dan pastikan pada 26hb nanti undi ‘timbangan’ (BN),” katanya lagi.

Turut hadir ialah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama calon-calon BN di Kalabakan iaitu DUN Kukusan, Chaya Sulaiman dan DUN Tanjung Batu, Andi Suriady Bandi bersama kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO tempatan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.