Teruskan Momentum Sokongan Anak Muda, BN Parti Pembela Rakyat – Andi

KALABAKAN, 19 Sept. – Jentera UMNO khususnya golongan muda diseru untuk meneruskan momentum sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam kempen yang memasuki fasa kedua, kata calon BN DUN N71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandi.

Katanya, anggota jentera BN hanya ada dalam seminggu lagi untuk menamatkan ‘larian’ dan sampai ke garisan penamat.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera Pemuda dan Puteri yang memberikan sokongan padu kepada calon-calon di Bahagian Kalabakan ini. Ada seminggu lagi untuk kita tamatkan ‘larian’ yang semuanya bergantung kepada usaha dan kerjasama kita.

“Ayuh kekalkan momentum, gerak kerja yang berterusan dan insya-Allah pada 26hb nanti, pada malamnya DUN N71 Tanjung Batu dan DUN N70 Kukusan akan kekal milik BN serta dapat membantu BN meraih kemenangan di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata demikian dalam ucapan ketika Majlis Pelancaran Gerak Gempur dan Pengundi Muda Parlimen Kalabakan, malam tadi.

Demikian juga bagi Calon BN N70 Kukusan, Chaya Sulaiman yang menzahirkan penghargaan terhadap sokongan anak muda terhadap BN.

“Biarpun saya adalah orang lama tapi wajah baru dalam PRN ini, saya amat menghargai sokongan anak-anak semua dan pastinya saya harapkan jentera muda ini yang akan bawa turun para pengundi dengan memangkah BN pada 26 Sept nanti.

“Teruskanlah raih sokongan bukan saja dari kalangan anak muda tapi juga semua pengundi untuk memangkah BN dan pastikan gerak kerja ini diteruskan,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Kalabakan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bersama dengan kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO tempatan.

BN meletakkan calon ahli politik lama, Chaya Sulaiman untuk DUN Kukusan berbekalkan pengalaman luas dan tidak asing dengan gerak kerja politik di Parlimen Kalabakan

Turut bertanding di DUN Kukusan ialah calon Parti Cinta Sabah (PCS) Ismail @ Taufik Muin, Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) serta Rosdiansah Mohd Nor dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.