Kembalikan Sabah Sebagai ‘Fix Deposit’ BN Demi Pembangunan Berterusan

TAWAU, 19 Sept. – Suatu waktu dahulu Sabah terkenal sebagai ‘fix deposit’ (‘simpanan tetap’) Barisan Nasional (BN) yang akan memberikan sumbangan besar dalam jumlah undi bagi membentuk kerajaan negeri dan membantu menjamin kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Abdul Majid Saleh, 50, Ketua Penyelaras PDM berkata, usaha berterusan dibuat oleh anggota UMNO bagi memastikan sokongan terhadap BN kukuh dan calon-calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini mencapai kejayaan.

“Dulu Tawau adalah antara ‘fix deposit’ kepada BN namun apabila ada yang melompat maka di akar umbi seakan hilang arah namun dengan adanya gerakan semangat bagi membina semula parti dari anggota yang setia, maka ahli-ahli kembali bangkit dan bersedia memberi kemenangan kepada BN.”

Bagi Ammissain Latif, 62, Ketua UMNO Cawangan Andrassy di sini juga menganggap bahawa sejak kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu banyak perkara yang terbantut.

“Kalau saya sebagai ketua Cawangan UMNO dan penyokong kuat BN, apa yang saya lihat semenjak kekalahan BN di Sabah adalah rakyat amat sukar. Semenjak kerajaan Warisan ambil alih banyak aktiviti UMNO yang tersekat dan tidak ada bantuan-bantuan kepada rakyat.”

Sehubungan itu, beliau merayu kepada rakan-rakan seperjuangan khususnya rakyat Sabah dan juga penduduk N67 Balung untuk mengundi calon BN pada 26 Sept nanti.

“Kita perlu merebut semula kerajaan BN di Sabah kerana kami sebagai rakyat di sini amat kecewa dengan pemerintahan parti Warisan terutamanya pada waktu sukar apabila musibah COVID-19 sedangkan kerajaan Parti Warisan janjikan RM300 kepada rakyat Sabah tapi kami langsung tidak dapat.”

Sokongan yang tidak berbelah bahagi juga dinyatakan oleh Noratika Awang, 30, kepada BN agar memperoleh kemenangan pada PRN Sabah kali ini

“Kita adakan program bagi mendekati golongan muda. Misalnya, hari ini program yang berlangsung adalam program santai bersama anak muda iaitu program ‘Besanong-sanong Maya Anak Embuloq’ iaitu satu program yang dibuat bagi mendekati pengundi muda di kawasan sekitar supaya mereka lebih mengenali UMNO/BN dan mengenali siapa calon di PRK DUN Balung.

“Program ini juga dibuat bertujuan untuk menyuntik semangat mereka, mengundi dan mempercayai BN iaitu sebuah parti yang boleh membina nasib rakyat.”

Hal yang sama turut dinyatakan oleh Hisyam Rashid, 21, yang berharap agar BN menang dan dapat membentuk kerajaan di Sabah.

“Undilah BN untuk masa depan rakyat. Radu tatap radu,” katanya.

DUN 67 Balung mempertaruhkan Hamild Awang sebagai calon dengan disaingi oleh enam calon lain iaitu Abdul Hamid Damang (PCS), Labosa @Ghazali Jakilan (USNO), Abu Bakar Jambuan @ Omar (Gagasan), Cyril Aloysius (LDP), Andi Rus Diana Andi Paladjareng (Warisan) dan Ariffin Kassim Ibong (PHRS).

PRN diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa Aman mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.