‘Timbangan’ Jadi Pilihan Pengundi, Puteri UMNO Yakin BN Menang

KALABAKAN, 18 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yakin bahawa ‘timbangan’ iaitu logo Barisan Nasional (BN) akan menjadi pilihan rakyat khususnya dalam kalangan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 Sept nanti.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen, beliau sendiri dapat merasai keinginan rakyat untuk ‘ubah balik’ kerana enggan lagi berada di bawah pentadbiran kerajaan Warisan.

“Alhamdulillah, Pergerakan Puteri UMNO telah menyusun jentera seawal mungkin, tugasan anggota jentera juga telah dilaksanakan lebih awal iaitu sebelum penamaan calon dan kita lihat anggota Puteri semangatnya sangat luar biasa untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, jentera sangat komited, disusun dengan begitu rapi dan gerak kerja untuk mendekati pengundi juga sangat kemas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas program Santai Bersama Pengundi Muda di Pusat Operasi BN Kalabakan sempena kempen PRN Sabah, Khamis.

Terdahulu beliau telah turun untuk berkempen di Sandakan, Batu Sapi, Libaran, Beluran, Kinabatangan dan sebelumnya di Tawau, Semporna, Silam dan Kalabakan.

“Saya dapat rasai sendiri bahawa orang muda di sini merasakan perlu ubah balik kerana selama pentadbiran Warisan, mereka melihat bahawa kerajaan itu tidak menjaga kebajikan rakyat, tidak ada pembangunan ekonomi, tidak ada peluang pekerjaan dan apa yang pasti apabila bantuan COVID-19 yang sepatutnya turun kepada rakyat tidak sampai.

“Jadi ini masanya kata mereka… kata pengundi-pengundi muda ini mereka mahu ubah balik. Kata mereka cukuplah merasai pentadbiran Warisan maka kali ini mereka mahu ubah balik.

“Mereka akan pastikan untuk keluar ramai-ramai bagi mengundi ‘timbangan’ atau BN. Insya-Allah kita doakan yang terbaik untuk calon-calon BN dan saya yakin dan percaya bahawa dalam PRN kali ini pengundi bijak memilih dan tahu menilai.”

Sehubungan itu, kepada anggota jentera parti khususnya Puteri UMNO, beliau berharap agar momentum yang ada ditingkatkan untuk kemenangan.

“Pada jentera saya harap dalam tempoh berkempen yang masih berbaki sembilan hari ini, tingkatkan momentum yang ada, teruskan kerja kuat dan komitmen yang ditunjukkan teruskan hingga ke garisan penamat.

“Saya percaya mereka semua mahu berjuang habis-habisan untuk pastikan semua calon-calon BN menang. Semua DUN (Dewan Undangan Negeri) yang saya pergi saya melihat jentera ‘pink’ merata-rata dan semangat yang sangat luar biasa… saya yakin kita akan menang,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.