‘Sabah Ubah’ Rupanya Bertukar Ke Belakang, Bukan Bawa Sabah Terus Maju – Zahid

KIMANIS, 18 Sept – ‘Sabah Ubah’ yang pada satu ketika digunakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu oleh Warisan sememangnya menampakkan perubahan namun bukanlah perubahan tersebut ke depan sebaliknya berundur ke belakang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan dapat dibuktikan menerusi pertumbuhan ekonomi ketika Sabah di bawah BN berbanding negeri berkenaan berada di bawah Warisan sepanjang dua tahun lebih yang lalu.

Menurut beliau statistik pertumbuhan ekonomi menunjukkan pada 2017, 2018 dan 2019 cukup berbeza yang jelas menampakkan kelemahan pentadbiran kerajaan Warisan yang akhirnya menyebabkan tempias dan kesannya menimpa kepada rakyat negeri di bawah bayu.

‘’Ketika BN memerintah Sabah statistik atau perangkaan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2017 setahun sebelum PRU-14, peningkatan pertumbuhan ekonomi 8.2 peratus melebihi daripada kadar pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional. Ertinya Sabah lebih maju dan lebih berkembang pertumbuhan ekonomi berbanding dengan negeri lain ketika BN memerintah Sabah.

‘’Pada tahun 2018 ianya merudum turun kepada 1.5 peratus ertinya apa… selepas Warisan memerintah ekonomi tidak baik dan orang hilang pekerjaan. Pada tahun 2019 turun lagi 0.5 peratus atau setengah peratus ertinya selama lebih sedikit dua tahun slogan atau ‘tag line’ mahu ubah betul berubah tetapi berubah bukan ke depan tetapi berubah ke belakang, maka sekarang BN mahu ubah balik supaya rakyat dibela dan pertumbuhan ekonomi terus naik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada program Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan. Turut bersama calon BN kawasan berkenaan, Ag Lahap Ag Bakar @ Ag Syairin.

Ahmad Zahid seterusnya berkata, berapa ramai mereka yang hilang pekerjaan selain perniagaan yang ditutup termasuklah berapa usahawan yang gulung tikar.

‘’Ini sebelum COVID-19… COVID-19 baru berlaku tahun ini bulan Febuari bulan Mac. Masalah ini berlaku 2018, 2019. Selalunya kalau berlaku kelemahan kita tidak pernah menuding jari kepada kita dan mesti tuduh kepada orang.

‘’Apabila Pan Borneo tidak diteruskan… ooo… dia salahkan ini kerajaan PH telah menghentikan projek itu sedangkan Warisan pada ketika itu adalah sebahagian daripada PH. Jika mereka dalam satu parti di bawah PH rundinglah elok-elok kerana mahu ubah, mahu naikkan Sabah mahu Pan Borneo diteruskan. Kenapa tidak dilakukan ertinya berlaku kelemahan dari segi pentadbiran,’’ ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut berada di PDM Kelahan, Parlimen Papar pada program Pemimpin Bersama Rakyat. Pada majlis berkenaan Ahamd Zahid turut menyaksikan kemasukan bekas ahli Warisan ke dalam UMNO yang diterima oleh Pengerusi UMNO perak, Datuk Shaarani Mohamad yang juga negeri angkat Papar- UMNO Online.

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.