PRN Sabah: Bung Moktar Abai Pengundi DUN Lamag? Itu Propaganda Semata-mata…

KINABATANGAN, 18 Sept – Wakil calon kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin, Abu Bakar Gapar menafikan sekeras-kerasnya kononnya Bung Moktar mengabaikan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kerana terpaksa melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi BN di Sabah.

Ujar beliau, isu itu tidak timbul sama sekali kerana pembahagian masa dan tugas yang telah disusun telah dilaksanakan dengan baik.

“Walaupun kadangkala terpaksa meninggalkan kawasan kerana menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi BN dan Ketua UMNO Sabah tetapi saya sebagai wakil calon akan memastikan semua gerak kerja berjalan dengan baik.

“Setiap malam saya akan menghantar laporan kepada Bung Moktar dan apabila Bung berada di kawasan, beliau pasti akan berjumpa sendiri dengan para pengundi. Saya dan jentera juga sentiasa mewakili Bung Moktar untuk bertemu dan mendengar segala permasalahan pengundi.

“Tidak bermakna bila Bung Moktar tiada di kawasan maka kerja tidak berjalan atau para pengundi diabaikan. Kita bukan buat kerja semata-mata kerana pilihan raya tetapi kita sentiasa buat kerja dan penduduk di Kinabatangan ini secara khususnya memang berpuas hati dengan Bung Moktar yang sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal pengundinya,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, Abu Bakar amat berharap agar para pengundi tidak terpengaruh sama sekali dengan propaganda jahat politik yang ingin menjatuhkan Bung Moktar.

“Ini adalah satu propaganda jahat semata-mata mahu mempengaruhi rakyat. Tapi saya yakin, para pengundi bijak dan tahu menilai siapakah Bung Moktar dan bagaimana cara beliau bekerja.

“Percayalah, tidak timbul langsung isu beliau mengabaikan tanggungjawabnya di DUN Lamag ini,” tegas beliau.

Di PRN Sabah ini, Bung Moktar menjadi calon di DUN Lamag.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 September ini sebagai tarikh mengundi bagi PRN Sabah dan hari mengundi awal adalah pada 22 September.

PRN ini juga menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 13 kerusi DUN baru dan DUN Lamag adalah salah satu darinya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.