Pilih BN Ada ‘Track Record’, Tolak Parti Khianat Yang Penuh Janji Palsu – Dr Asyraf

KALABAKAN, 18 Sept – Rakyat perlu memilih Barisan Nasional (BN) yang ada ‘track record’ (rekod perkhidmatan) dalam membangunkan rakyat berbanding dengan parti yang hanya tahu menipu dan khianat terhadap janji-janji sendiri, tegas Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya, apabila UMNO/BN Sabah tumbang walaupun tidak kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, sebaliknya kerana ‘rapuh’ dan dibantu oleh pihak yang mahu berkuasa maka rakyat menjadi mangsa.

“Saya sudah maklumkan berkali-kali bahawa parti yang naik kerana khianat, kerana fitnah tak akan kekal lama.. sebab itu Pakatan Harapan (PH) hanya 22 bulan dan Parti Warisan 26 bulan… inilah akibat khianat kepada mandat rakyat maka tidak lama mentadbir dan jatuh.

“Kerajaan PH adalah kerajaan hancing sebab ‘kencing’ rakyat… Warisan pun sama juga menipu rakyat.. jadi kerajaan pilih kasih, hanya pada kroni sebagaimana bantuan COVID-19 yang bukan kepada semua.

“Ini berbeza dengan ‘timbangan’ iaitu BN yang ada ‘track record’ jelas waktu menjadi kerajaan, tak abaikan rakyat dan bantuan yang diberikan sama rata, tak kira parti apa, tak ada pilih kasih,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh bagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) juga diubah namanya kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) namun penerimanya tidak menyeluruh sebagaimana BN.

“BN waktu berkerajaan tak pernah abaikan rakyat sampaikan BRIM pun diberikan kepada orang bujang sedangkan PH tidak ada namun selepas bising di Parlimen diperkenalkan semula untuk orang bujang tapi bersyarat… syaratnya mesti yang berumur 40 tahun ke atas… itu dah bujang terlajak… bujang lapok sedangkan yang muda-muda tak dapat,” bidasnya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian dalam ceramah umum bersama Calon BN DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy dan juga masyarakat serta jentera BN di Dewan Terbuka Pentas KK Hamid Hassan, di sini, malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan pada 26 September nanti.

Kata Dr Asyraf, pada PRU yang lepas kononnya nak cuba tukar kerajaan maka mereka guna ‘ubah’ tapi rupanya kerajaan ini hanya dikenali sebagai pemimpin yang penuh pengumuman.

“Asyik umum saja tapi tak ada yang sampai pada rakyat dan sekarang rakyat mahu ‘ubah balik’ malah perkataan ‘ubah balik’ ini seakan sudah jadi mantera kepada rakyat… di mana-mana saya jumpa pasti kata akan ‘ubah balik’.

“Rakyat tak mahu tertipu lagi dengan janji… kononnya nak wujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda tapi tak ada.”

Maklumnya, ketika BN berkerajaan, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak selalu kata Negeri Sabah mesti diangkat dan mesti wujudkan satu projek mega untuk hidupkan ekonomi.

“Kerana itu aspirasi kerajaan untuk bina projek besar yang bernilai berbilion-bilion dibuat… yang kesannya adalah kepada rakyat… 45 ribu peluang pekerjaan akan wujud malah kalau projek ini tak terhenti tahun depan Pan Borneo (Lebuhraya Pan Borneo) akan siap tapi apabila Warisan naik projek dihentikan dan sampai sekarang terbengkalai… peluang pekerjaan tak ada, ekonomi merudum.”

Beliau turut menyentuh berkaitan calon DUN Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady yang disifatkan adalan calon yang tepat untuk diangkat menjadi pemimpin.

“Saya kenal Andi, dia adalah Exco Pemuda UMNO Malaysia. Waktu UMNO jatuh, dia kekal pertahankan bahtera, diangkat jadi Ketua Bahagian sedangkan ketika itu UMNO tak ada apa-apa, tak ada kuasa untuk tawarkan jawatan, tidak ada duit, namun dia tetap setia. Inilah calon terbaik di sini.” Katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.