PH Batal Laksana Rumah Bina Negara, PN Sambung Semula…

KINABATANGAN, 18 Sept – Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek pembinaan Rumah Bina Negara di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau yang terbengkalai sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara akan diteruskan semula pada bila-bila masa sahaja.

Ujar beliau, sebanyak RM15 juta telah diluluskan dan pembinaan ini bakal siap lebih kurang lapan bulan akan datang.

“Kita telah mulakan projek ini pada tahun 2016 tetapi ia mula terbengkalai pada 2018. Pembinaan 123 buah rumah ini terpaksa diberhentikan kerana Kementerian Kewangan di bawah pimpinan PH tidak memberikan pinjaman kepada Felcra.

“Jadi, sekarang kita telah mendapat kelulusan sebanyak RM15 juta dan ia akan dimulakan pada bila-bila masa. Saya telah melawat projek tersebut dan ia telah 80 peratus siap jadi, tidak ada masalah besar untuk teruskan.

“Ini adalah tanggungjawab di bawah Kementerian Luar Bandar dan ia bukanlah janji kerana pilihan raya,” ujar beliau kepada UMNO Online selepas mengadakan program ziarah kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Dalam pada itu, Abdul Rahman yang juga merupakan Ahli Parlimen Lipis turut mengingatkan para pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk membuat penyelarasan agar segala bantuan mudah untuk disalurkan.

“Hari ini kerajaan pusat diterajui oleh PN, jadi saya berharap agar para pengundi dapat membuat penyelarasan memberi sokongan kepada calon yang bertanding di bawah BN dan PN di PRN Sabah ini.

“Penyelarasan ini penting kerana kuasa tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri dan sebarang pembinaan atau pembangunan mesti mendapat kelulusan dari kerajaan negeri. Inilah penyelarasan yang perlu. Penduduk di Sabah perlu faham situasi ini,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.