Peluang Di Depan Laksana Perubahan, Pastikan Sabah Seiring Dengan Persekutuan – Ismail Sabri

PUTATAN, 18 Sept – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan merupakan masa yang terbaik dan peluang yang amat berharga kepada rakyat khususnya kalangan pengundi di negeri berkenaan untuk melakukan satu perubahan agar kerajaan negeri sealiran dengan persekutuan demi kepentingan Sabah itu sendiri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata amat jelas bagaimana lebih dua tahun kerajaan negeri yang ditunjangi Warisan gagal dalam pelbagai aspek yang menyebabkan rakyat Sabah terpaksa menanggung akibat dan kesannya dapat dilihat hari ini.

‘’28 bulan rakyat Sabah menderita di bawah pemerintahan Warisan… 28 bulan menjadikan Sabah sebagai negeri yang semakin mundur, pengangguran seluruh negara meningkat tetapi Sabah jauh lebih tinggi daripada peratusan pengangguran nasional kerana kegagalan kerajaan Warisan di Sabah.

‘’28 bulan menunggu kita rasakan bahawa kita akan terus menunggu sehingga ke PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang tetapi Alhamdulillah doa daripada rakyat Sabah untuk menumbangkan kerajaan sekarang ini  berada di tangan tuan-tuan. Tangan tuan-tuanlah yang akan menentukan masa depan Sabah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra bersama pengundi di Tanjung Aru, di sini, malam tadi. Turut serta calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Mohd Riduan Akle dan pimpinan setempat yang lain.

Tambah Naib Presiden UMNO itu lagi, jelas sekali perlunya hubungan yang selari antara pusat dan negeri bagi kemudahan serta kepentingan rakyat Sabah secara menyeluruh dalam pelbagai aspek baik pembangunan mahupun perkara lain.

‘’Perlunya hubungan yang akrab antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Banyak projek-projek yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan dibatalkan oleh kerajaan negeri. Banyak projek-projek untuk kepentingan rakyat  akhirnya dihentikan oleh kerajaan negeri kerana perbezaan di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

‘’Yang terbaru saya selaku Menteri Pertahanan amat kecewa apabila Filipina mengumumkan akan mengaktifkan semula tuntutan terhadap Sabah ini. Kita tidak akan benarkan apa-apa rundingan sekalipun. Sabah adalah hak rakyat Sabah dan di dalam Malaysia sebuah negara merdeka… Sabah negeri Merdeka.

‘’Mana boleh kita nak benarkan orang lain membuat tuntutan terhadap Sabah dan kita tiba-tiba mengatakan boleh berunding. Kalau hak kita mana boleh berunding dengan sesiapa sahaja. Sabah akan kita pertahankan daripada mana-mana kuasa sekali pun yang cuba menggugat keamanan negeri Sabah,’’ ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.