Lupakan Warisan, Pilih BN Untuk Masa Depan Sabah – Afriz

KALABAKAN, 18 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Afriz Mohd Noor berkata inilah masanya untuk rakyat melupakan Parti Warisan kerana telah nyata bahawa parti terbabit penuh dengan penipuan sebaliknya tumpukan sahaja kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) yang berkaliber demi masa hadapan rakyat Sabah.

Ujarnya, rakyat perlu membuat keputusan yang bijak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung pada 26 September depan.

“Untuk pengundi-pengundi di Sabah ini, saya rasa semua dah tahu situasi dan keadaan yang berlaku di negeri tersebut, janji-janji yang tidak dilaksanakan, ditipu dan macam-macam lagi… maka kita tak perlu bercakap soal kerajaan Warisan yang lepas sebaliknya berikan sokongan kepada calon BN yang lebih baik dan lebih berkaliber daripada calon Warisan.

“Saya harap rakyat akan membuat keputusan yang bijak bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kerajaan negeri Sabah selari dengan kerajaan Pusat bagi membantu rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membawa pembangunan di negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas membantu kempen calon BN yang diangkat dari kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia iaitu Andi Muhammad Surady Bandi yang bertanding di DUN N.71 Tanjung Batu.

Berkaitan dengan calon Pemuda UMNO yang diketengahkan dalam PRN kali ini, Afriz menzahirkan penghargaan dan berasa gembira kerana calon muda diberi tempat.

“Kita berasa gembira apabila kita diberi peluang untuk mewakili penduduk dan kita yakin dengan gerak kerja serta jentera BN maka insya-Allah calon muda ini akan menang pada PRN ini.

“Kepada Andi, semoga Andi dapat tunaikan janji-janji kepada rakyat agar dilihat calon anak muda ini dapat melakukan kerja dengan baik yang secara tidak langsung mencerminkan calon-calon anak muda untuk PRU-15 nanti.”

Afriz juga melihat calon Pemuda yang mewakili 40 peratus daripada jumlah calon keseluruhan di PRN Sabah amat aktif dalam bergerak sama ada di media sosial dan juga masuk ke kawasan-kawasan kampung bagi bertemu dengan pengundi.

“Inilah calon-calon yang boleh membantu dan membela rakyat. Undilah calon BN kerana calon-calon inilah yang akan membantu rakyat dan menjaga kebajikan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.