BN Terbukti Tadbir Negara Dengan Baik… PH? Hanya Beri RM30 Kepada Rakyat – Ismail Said

 

KINABATANGAN, 18 Sept – Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kemakmuran, kemajuan dan hidup aman damai dalam berbilang kaum di negara ini adalah bukti kejayaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara ini dengan baik.

Jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, tidak ada seorangpun yang boleh menafikan perkara tersebut malah BN juga amat prihatin dengan permasalahan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Lebih 60 tahun BN mentadbir negara ini dengan amat berjaya. Kalau Lim Kit Siang mengatakan BN tidak tunai janji… dia 22 bulan tadbir negara hanya nak bagi RM30 untuk orang pun susah. Kita (BN) telah terbukti banyak bantu orang susah, melalui kebajikan masyarakat, melalui wakil rakyat setempat dan macam-macam lagi.

“Jadi, tidak perlulah Kit Siang cuba pengaruhi rakyat di Sabah kononnya BN tidak tunai janji,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan veteran Dap Lim Kit Siang yang mengatakan BN tidak menunaikan janji di Sabah.

Kit Siang ketika berkempen untuk tujuh calon Warisan Plus dari kawasan Sandakan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mengingatkan para pengundi mengenai janji-janji yang tidak dipenuhi oleh BN sejak pertengahan 1990-an lagi.

Katanya, sekurang-kurangnya ada lima janji utama yang dibuat oleh BN semasa berkempen untuk pilihan raya negeri Sabah 1994 dan pilihan raya umum yang diadakan setahun kemudian tetapi tidak ditunaikan.

Bercakap mengenai tuduhan kononnya BN dan PPBM tidak bekerjasama di PRN Sabah ini, jelas Ismail, itu semua adalah tuduhan yang tidak benar.

“Tuduhan itu hanyalah untuk merosakkan hubungan baik antara kita dalam Perikatan Nasional (PN). Dalam Dewan Rakyat kita bekerjasama dengan baik jadi, takkan bila turun padang kita tidak bersama? Sudah pastilah bila turun padang kita akan tunjukkan kerjasama yang baik sebagaimana kita bekerjasama dalam Dewan Rakyat.

“Ini semua hanyalah niat jahat pihak lawan yang mahu merosakkan kita dan mahu menunjukkan kepada pengundi kononnya kita berpecah tapi hakikat sebenarnya merekalah yang berpecah.

“Sebab itu ketika Shafie Apdal mengumumkan calon, ramai pemimpin dan penyokong PKR keluar dewan. Ini kerana apa? Kerana mereka yang bepecah,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.