Tuduhan BN Tidak Tunai Janji Di Sabah, Retorik Politik Basi Dap – Calon BN DUN Sukau

 

KINABATANGAN, 17 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau Datuk Jafry Ariffin berkata, tuduhan Dap kononnnya BN tidak menunaikan janji di Sabah adalah satu retorik politik basi.

Ujar beliau, Pakatan Harapan (PH) dan Warisan sebenarnya telah terbukti gagal dan peluang yang diberi oleh rakyat kepada mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) jelas menunjukkan mereka gagal sepenuhnya.

“Janji manifesto mereka pun langsung tidak tertunai. Berbanding BN, memang kita ada kelemahan dan kekurangan… ini tidak dinafikan tapi negara ini berada di tahap sekarang ini adalah disebabkan kerajaan BN.

“Kita lihat pembangunan di bandar, jalan raya, di kampung-kampung, semuanya adalah hasil kerajaan BN. Masa di bawah PH dan Sabah di bawah Warisan, tidak ada satupun yang mereka buat malah di Kinabatangan ini satu projek untuk rakyat pun tiada.

“Bantuan COVID-19 pun tidak semua rakyat yang dapat. Ada juga rakyat yang datang kepada saya menangis mengadu bantuan kebajikan mereka dipotong. Jadi, adakah ini bukti mereka bantu rakyat?,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Jafry berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin Dap Lim Kit Siang yang mengingatkan para pengundi mengenai janji-janji yang tidak dipenuhi oleh BN sejak pertengahan 1990-an lagi.

Kit Siang berkara demikian pada ceramah Hari Malaysia di Tanjong Papat semalam.

Bercakap berkaitan kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pula Jafry berkata, beliau menggunakan pendekatan rumah ke rumah bagi memberi keyakinan kepada para pengundi selain mendengar sendiri luahan dan kritikan akar umbi.

“Saya fokuskan hubungan ‘intim’ rumah ke rumah dengan pengundi. Saya tidak mahu buat program besar-besaran kerana saya hendak dengar sendiri isi hati dan kritikan para pengundi.

“Rata-rata meluahkan rasa terkilan kerana susah dan ada halangan untuk berjumpa pemimpin. Kata mereka, ada pihak tertentu yang menghalang untuk mereka bersemuka dengan pemimpin. Ini adalah budaya yang perlu diubah,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.