Rumah Kontena: Kalau Inilah Cara Warisan Perintah… Adakah Wajar Diberi Peluang Lagi?

 

BATU SAPI, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim membidas kerajaan Warisan yang gagal memberi penempatan selesa kepada mangsa kebakaran Kampung Gas, di sini sehingga mangsa terpaksa tinggal dalam kontena selama lebih dua tahun.

Ujar beliau, sekiranya Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini, masalah kampung tersebut adalah antara keutamaan yang akan diuruskan.

“Bagi saya, masalah Kampung Gas ini adalah satu perkara yang harus diberi perhatian dengan segera. Sudah dua tahun berlalu, rumah untuk mereka masih tiada.

“Seharusnya cara urus kerajaan Warisan mestilah tanpa mengira sempatan politik dan mengambil tindakan segera pada waktu dan ketika itu.

“Tapi saya yakin dengan izin Allah jika kali ini Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRN ini, masalah Kampung Gas ini akan menjadi antara keutamaan yang akan diberi perhatian sebab pengalaman saya ke negara Somalia, negara miskin mundur yang lain… sekiranya penempatan kontena ini terjadi tidak apa, tapi negara kita tidak sepatut dan seharusnya ada penempatan sebegini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Ini jelas katanya menunjukkan kerajaan Warisan tidak tahu mengurus tadbir hal yang berkaitan kebajikan rakyat khususnya keperluan utama.

“60 hari rumah mesti disiapkan… ini sudah lebih dua tahun. Saya tidak tahu di mana masalahnya, mungkin kerajaan negeri tidak ada duit atau mungkin ada duit tapi tidak tahu urus tadbir, saya tidak mahu menuduh tapi inilah hakikatnya… amat sedih.

“Saya sudah pergi 40 misi kemanusiaan seluruh dunia, saya terkilan dan sedih melihat dalam negara saya sendiri sebuah negeri yang kaya raya, tak mungkin perkara sebegini berlaku, saya tidak tahu di mana silapnya,” kesalnya.

Azeez berkata demikian selepas melawat penempatan kontena yang serba daif tersebut, hari ini.

Justeru jelas beliau, rakyat harus berfikir dengan jelas, sekiranya begini cara rakyat dilayan oleh Warisan, adakah peluang harus diberi lagi kepada mereka.

“Kerajaan BN bukan kerajaan fitnah, kita tidak mahu menang dengan fitnah… dengan harapan palsu, kami buat perkara yang kami janji dan janji itu ditepati.

“Jadi, saya yakin dan percaya, ini antara projek pertama yang harus dilaksana dengan serta-merta sekiranya kita menang pada PRN Sabah ini,” tegas beliau.

Dilaporkan, pada 27 Jun 2018, lebih 400 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kira-kira 90 buah rumah di penempatan atas air itu musnah dalam kebakaran. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.