PH Patut Tanya Shafie, Apa Yang Dilakukan Dengan RM7.6 Bilion Dana KKLW

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menimbulkan persoalan buat Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah siapakah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2009 hingga 2015 jika mereka masih berhujah bahawa peruntukan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu tidak memberikan nilai optimum kepada rakyat.

Imbaunya, bukankah indvidu tersebut adalah Presiden Warisan yang juga kini Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Jadi seharusnya PH bertanya apakah yang dilakukan Shafie kepada dana RM7.6 bilion di bawah kementeriannya ketika itu sehingga Sabah tidak mencapai kemajuan yang sepatutnya. Kenapa perlu dipersalahkan BN semata-mata?

“Berdasarkan rekod peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 kepada KKLW, jumlah dana yang disediakan kepada negeri Sabah di bawah kementerian ini adalah sebanyak RM7.6 bilion (2011-2015) dan RM10.2 bilion (2016-2020).

“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding peruntukan sebanyak RM1.42 bilion yang diberikan dalam RMK-8 (2001-2005) pada zaman Perdana Menteri keempat,” tambah Ahli Parlimen Baling itu dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Peruntukan tersebut ujarnya telah menyebabkan berlakunya pertumbuhan ekonomi yang sangat tinggi di Sabah pada zaman Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak.

“Kemuncaknya pada tahun 2017, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini meningkat sebanyak 8.2%, kadar tertinggi di seluruh Malaysia,” ujarnya lagi.

Namun bidasnya, kegagalan Warisan terutamanya dalam menjaga ekonomi dan pendapatan rakyat telah menyebabkan kadar KDNK pada 2018 hanyalah 1.5%, terendah berbanding negeri-negeri lain seluruh negara.

Oleh kerana itulah tegasnya, salah satu perkara mengelirukan yang suka diulang oleh pemimpin-pemimpin PH adalah Sabah mundur kerana UMNO/BN.

“Kenyataan ini bukan sahaja fitnah tetapi menunjukkan bagaimana PH/Warisan lebih berminat menunggang emosi rakyat demi untuk mengekalkan kuasa.

“Tetapi mereka lupa bahawa rakyat Sabah sangat cerdik. Saya nak ingatkan pemimpin PH untuk berhenti bermain persepsi sebaliknya lihatlah fakta melalui dokumen rasmi.

“Sekiranya PH buta atau buat-buat buta, saya akan ceritakan apa yang dibuat Shafie sepanjang beliau menjadi menteri dahulu. Jangan bimbang, kita BN hanya akan bercakap dengan fakta rasmi. Bukan sekadar melelong emosi,” katanya sambil menyatakan akan mendedahkan di hantaran berikutnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.