Pemuda BN Desak Shafie Tarik Balik Kenyataan

KUALA LUMPUR, 17 Sept – “Berunding bererti mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah,” tegas Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, Kerajaan Malaysia di bawah BN sebelum ini tidak pernah melayani tuntutan Filipina ke atas Sabah sehingga sudah lebih 30 tahun Jabatan Menuntut Sabah ditutup Kerajaan Filipina.

“Apabila Datuk Seri Shafie (Mohd Shafie Apdal-Ketua Menteri Sabah) buat kenyataan meminta rundingan antara kerajaan dengan kerajaan dilakukan, empat hari kemudian Filipina buka semula Jabatan menuntut Sabah,” tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, menurut sebuah laporan media pada 28 Ogos, Shafie mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan pusat mengadakan rundingan dengan negara Filipina untuk menyelesaikan tuntutan negara republik tersebut ke atas Sabah.

Justeru itu ujar Dr Asyraf, Pemuda BN mendesak Shafie menarik balik kenyataan supaya Kerajaan Malaysia dan Filipina berunding isu tuntutan tersebut.

“Sabah milik Malaysia! Tiada keperluan berunding dan usah mengiktiraf sama sekali tuntutan Filipina ke atas kedaulatan Sabah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.