BN Luluskan Bajet Bekalan Air Bersih… Warisan Ubah, Batal Peruntukan – Samsudin

 

BATU SAPI, 17 Sept – Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya berkata, rakyat Sabah harus menolak parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini kerana sudah terbukti mereka gagal dalam menjaga kebajikan rakyat.

Ujar beliau, rakyat Sabah tidak boleh lagi terpengaruh dengan slogan Sabah Ubah kerana sepanjang dua tahun Warisan mentadbir Sabah, tidak ada satupun yang mereka ubah untuk kebaikan rakyat.

“Kita tidak boleh buat seperti dahulu kerana terpengaruh Sabah Ubah. Setelah mereka memerintah, kita lihat satupun tidak ada mereka ubah bahkan peruntukan besar yang saya pohon daripada Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri pun dibatalkan. Saya mohon peruntukan RM68 juta untuk air bersih disalurkan ke pulau, kerana pulau tidak ada bekalan air bersih tapi sayangnya peruntukan ini ditarik bila Warisan memerintah.

“Bukan itu sahaja, peruntukan untuk masjid di Taman Mawar juga diluluskan ketika BN memerintah, kita sudah pecah tanah dan kontraktor telah dilantik… ini juga ditarik. Jadi, kita dapat melihat dengan jelas, Warisan sebenarnya tidak memperjuangkan nasib rakyat.

“Mereka hanya memperjuangkan kepentingan peribadi mereka. Lihatlah jawatan yang diberikan dalam kerajaan, orang Semporna yang banyak,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru, Samsudin menyeru kepada semua pengundi khususnya pengundi muda agar jangan lagi terkeliru dengan janji Warisan.

“Mereka janji peluang pekerjaan tapi ini pun tidak ada.

“Sebab itu saya sendiri dapat melihat perubahan senario politik di Sabah khususnya di DUN Sekong ini. Sambutan yang diberikan amat menggalakkan kepada calon BN malah mereka turut meluahkan perasaan kecewa terhadap kepimpinan Warisan.

“Tapi kita tidak boleh leka, kita harus melipat gandakan usaha agar rakyat benar-benar yakin untuk memberi undi kepada BN dalam PRN Sabah kali ini,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.