26 September Amat Bermakna Untuk Pengundi Lakukan Perubahan di Sabah – Raime

KOTA KINABALU, 17 Sept – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berpandangan apa yang rakyat Sabah akan lakukan pada 26 September nanti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu merupakan satu perkara yang cukup bermakna demi masa depan bersama.

Jelas beliau walaupun rata-rata pertandingan di sesuatu kawasan melibatkan saudara mara dan sebagainya namun apa yang penting pengundi perlu melihat sejauh mana sesebuah parti yang betul-betul ikhlas dalam membela dan membangunkan Sabah itu sendiri.

‘’Itu sebab kita mesti sama-sama saling tolong menolong dan jangan kita bersengketa… jangan bergaduh, kita perlu perubahan yang besar kerana umum dapat melihat kerajaan negeri yang ada hari ini gagal dalam membela nasib rakyat.

‘’Dalam keadaan kita berdepan kesusahan kerajaan negeri tidak membela nasib kita. Soal bantuan dan sebagainya lagi  termasuklah dulu janji bukan main berjela-jela janjinya… tetapi apa yang mereka lakukan selepas dapat jadi kerajaan,’’ katanya dalam temubual ekslusif bersama UMNO-Online.

Raime yang turut bertanding dan merupakan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong seterusnya berkata kerajaan Warisan perlu ditolak dan rakyat perlu bersatu dalam menjayakan misi berkenaan.

‘’Dengan satu tekad… ini kita perlu ubah… ini perlu kita satu hati tolak kerajaan sekarang. Kita ada beberapa hari sahaja lagi dan kita tolak calon lain dan pangkah calon nombor 4 untuk DUN Kemabong. Tolong jangan terpedaya seperti yang lepas,’’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.