Zahid Ingatkan Soal Kedaulatan Dan Maruah Negara Jangan Dimain-Mainkan

KOTA KINABALU, 16 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa soal kedaulatan dan maruah negara termasuk negeri Sabah merupakan perkara yang tidak boleh dimainkan.

‘’Jika ada pemimpin Sabah yang bersetuju bahawa jika salah seorang ahli parlimen daripada Filipina mengatakan Sabah adalah sebahagian daripada Filipina dan pemimpin daripada Sabah mengatakan ini boleh runding… ini soal bumi Sabah dan ini soal negara Malaysia. Mana boleh runding. Kita berjuang hingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan Sabah.

‘’Kalau penceroboh pun kita sama-sama untuk berjuang mempertahankan bumi Sabah, Lahad Datu di Felda Sahabat, di Tanduo dan sebagainya lagi. Ini bukan soal provokasi… kita bukan mahu bergaduh kerana ini adalah bumi kita dan ini adalah negeri yang merdeka. Malaysia adalah negara yang merdeka dan perkara itu telah diselesaikan dengan Kesultanan Sulu yang dahulu. Ini soal maruah dan kedaulatan negara, jangan dimain-mainkan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tanjung Aru bersama calon BN, Mohd Reduan Aklee, di sini, malam tadi. Turut bersama Ketua UMNO Putatan, Jeffery Mohamed serta pimpinan setempat yang lain.

Meneruskan ucapannya Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO sekali lagi menegaskan calon ketua menteri dibincangkan di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September ini.

‘’Itu sebabnya Dewan Tertinggi BN memutuskan jangan bercakap soal siapa jadi ketua menteri… kita bagi menang dahulu… sudah menang sekurang-kurangnya 37 ADUN-ADUN yang menang, kita berunding di kalangan ADUN… masa itu barulah pilih jadi ketua menteri… tetapi ingat kerusi parti yang paling banyak paling banyak itulah yang paling  layak menjadi ketua menteri. Kita tidak riak dan kita tidak takabbur.

‘’Rakyat jangan jadi bahan gadaian, rakyat ada maruah dan maruah tidak boleh dibeli wang ringgit… kerana itu kita mahu supaya agenda rakyat diberi keutamaan. Jangan main isu sensitif… BN ada PBRS… MCA… kita ada rakan-rakan yang lain seperti Bersatu termasuk parti-parti lain di dalam Perikatan Nasional (PN),’’ ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.