‘Sabah Ubah’ Terbukti Tidak Benar, Ini Masanya ‘Ubah Balik’ Kepada BN – Ghazalie

TAWAU, 16 Sept. – Rakyat Sabah telah melalui kehidupan yang perit sepanjang 26 bulan di bawah pentadbiran Parti Warisan yang menjadi kerajaan dan tentunya perkara sedemikian enggan diulang kembali.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing menekankan pentingnya peranan rakyat khususnya pengundi untuk mengubah kembali kerajaan Sabah kepada Barisan Nasional (BN) melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang hari pengundiannya pada 26 September hadapan.

Katanya, jika diimbas dari segi pembangunan, ianya terbantut di bawah Warisan sedangkan ketika dalam pentadbiran BN, Sabah adalah negeri paling cemerlang khususnya dari segi pertumbuhan ekonominya.

“Waktu rakyat susah khususnya ketika COVID-19 melanda negara, bantuan dari kerajaan tidak ada… jadi janganlah kita tertipu lagi. ‘Sabah Ubah’ tidak benar tapi sekarang ‘Ubah Balik’ dan pilih BN untuk bentuk kerajaan,” ujarnya ketika berucap di hadapan pengundi di PPR Sri Balung, semalam.

Jelasnya, sekarang ini Tawau sudah dikategorikan sebagai zon merah dan tentunya itu tidak hairan kerana kerajaan Warisan Sabah sebelum ini telah membuka kembali operasi bot pancung yang sebelum ini telah dibatalkan oleh BN.

“Waktu BN memerintah kita telah batalkan bot pancung dari sebelah sana tapi apabila Warisan ambil alih kerajaan mereka kembali luluskan maka banyak aktiviti-aktiviti tidak sihat berlaku termasuk kemasukan warga asing juga,” katanya.

Tegasnya lagi, BN sentiasa mengutamakan rakyat baik dari segi kebajikan dan keselamatan maka beliau meminta pengundi untuk memilih BN dengan mengundi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung, Hamild Awang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.