PRN Sabah: Janji BN Janji Realistik, Bukan Janji Bulan Bintang – Calon BN DUN Sibuga

LIBARAN, 16 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sibuga di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Mohd Hamsan Ag Supain berkata, janji BN di PRN ini adalah janji yang realistik untuk ditunaikan dan ia bukan seperti janji Warisan/ Pakatan Harapan (PH) iaitu janji bulan dan bintang.

Jelas beliau, kerana itulah para pengundi di PRN ini harus bijak memilih dan jangan terus terpedaya dengan slogan Warisan ‘Sabah Ubah’.

“Slogan Warisan ‘Sabah Ubah’ sudah gagal, jadi kita jangan tertipu lagi… kita kena ubah balik. Lebih dua tahun Warisan memerintah tapi tiada kebaikan yang dibawa untuk rakyat. Sebagai penduduk Sabah, kita malu dengan pentadbiran Warisan kerana mereka telah membuatkan ekonomi Sabah merudum dan pengangguran meningkat.

“Sekiranya BN menang dan dapat mentadbir Sabah, kita akan tubuhkan sebuah kerajaan yang efisien yang boleh menunaikan janji, kita tidak janjikan bulan dan bintang tapi janji kita sebuah janji yang realistik yang boleh dicapai,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Hamsan, BN juga akan terus membela nasib rakyat Sabah sebaik mungkin termasuklah memberi peluang perniagaan kepada belia.

“Sebab itu kita harus tahu dan mengenali apa keutamaan dalam tempoh lima tahun akan datang? Kalau kita tahu keutamaan maka kita boleh merancang dengan baik… kerajaan Warisan sudah merosakkan ekonomi Sabah dan kita mahu pulihkan ekonomi.

“Dari segi sosial juga Warisan gagal. Lihatlah, sudah enam ribu rumah terbakar tapi satu rumah pun Warisan gagal laksanakan,” tegas beliau.

Bercakap soal gerak kerja di DUN yang ditandinginya pula, Hamsan berkata, beliau yakin untuk mencapai kemenangan kerana gerak kerja yang diaturkan amat baik.

“Selain itu, Libaran adalah kubu kuat UMNO/BN… semasa PRU-14 kerusi ini juga kita menang. Jadi saya yakin BN mampu menang di ketiga-tiga kerusi DUN di Parlimen Libaran ini.

“Ditambah pula dengan kesedaran yang ada di jiwa rakyat bahawa mereka sudah ditipu oleh Warisan, maka saya yakin kita mampu menang,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.