Kami Tidak Seperti Warisan… Aku Janji Akan Dilaksana Demi Kepentingan Rakyat Sabah – Bung

KOTA KINABALU, 16 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata tawaran baharu yang dikemukakan kepada rakyat Sabah tidak sepertimana Parti Warisan yang hanya sekadar pandai berjanji semata-mata.

Dalam ucapannya pada Pelancaran Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, beliau berkata tawaran baharu berkenaan dibuat setelah melihat keadaan rakyat Sabah hari ini.

‘’Manifesto atau Aku Jani ini telah kita usahakan setelah melihat norma politik baru bukan sahaja di Semenanjung malah di Sabah bahawa kita perlu memberikan tawaran-tawaran baru kepada rakyat Sabah sebab kita telah melihat rakyat menderita di bawah pemerintahan Warisan selama lebih dua tahun.

‘’Kepada rakyat di Sabah, Aku Janji ini insya-Allah kita akan tunaikan 100 peratus. Kita bukan Warisan… Warisan telah menabur janji bermacam-macam tetapi satu pun tidak ditunaikan. Rakyat Sabah tidak perlu bimbang, tidak perlu gusar sebab ini kami semua berjanji… namanya pun Aku Janji bermakna kalau kami berjanji kita tidak tunai akhirnya kerajaan ini pun hanya satu penggal atau setengah penggal sahaja,’’ katanya.

Kata Bung Moktar lagi, hari ini UMNO dan BN Sabah telah melihat ke depan dengan melakukan segala perubahan termasuklah dalam organisasi UMNO dan BN itu sendiri.

‘’Kami telah berubah segala bentuk struktur kami dari segi kepimpinan, ketrampilan dan cara kami mengendalikan organisasi parti kami… sebab itu kenapa kami berubah sebab kami ingin menangkan hati rakyat dengan sepenuhnya… kami ingin meyakinkan rakyat bahawa mana-mana parti yang tidak berubah sudah pasti rakyat akan mengubahnya.

‘’Justeru pada 26 September ini saya cukup berkeyakinan gabungan ini disatukan secara ikhlas, secara jujur saya pasti calon-calon kita semua akan dapat sokongan daripada rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Jelas beliau lagi pihaknya cukup komited  dalam melaksanakan Aku Janji berkenaan untuk memastikan rakyat Sabah terbela.

‘’Saya berdiri di sini menyatakan bahawa kita cukup komited dalam melaksanakan Aku Janji ini. Sebab menginsafi rakyat Sabah sedang berdepan cabaran masa depan yang tidak menentu. Kita juga mengambil kira keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah mesti kekal terpelihara.

‘’Kita juga memahami bahawa tindakan pantas perlu diambil bagi menyelamatkan Sabah daripada bahana yang dibawa Warisan. Maka kami beriltizam dan berjanji demi rakyat kami menawarkan sebuah kepimpinan kerajaan negeri baru yang lebuh adil, lebih saksama, berintegriti,  telus dan amanah. Sentiasa menjaga dan melindungi hak-hak rakyat Sabah serta menyediakan pelan hala tuju ekonomi bagi memacu semula pertumbuhan negeri Sabah.

‘’Insya-Allah rakyat Sabah tolong doakan agar calon kita menang dan kami akan memulihkan maruah Sabah…kami berjanji akan menunaikan janji kepada rakyat Sabah,’’ ujarnya.

Muhyiddin hari ini melancarkan Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk rakyat negeri ini bagi pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 26 September ini.

Beliau berkata Aku Janji itu berpaksikan hak Sabah, kepimpinan berintegriti, Wawasan Kemakmuran Bersama dan perpaduan rakyat Sabah.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, Timbalan Presiden PBS Datuk Radin Maleh, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Sabah Datuk Hajiji Noor. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.