Tuduhan Shafie Menyeleweng… Jangan Timbulkan Sentimen Kenegerian, Bidas Azeez

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Tuduhan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa kerajaan Persekutuan tidak serius memindahkan pengurusan Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri adalah suatu perkara yang sangat menyeleweng, bidas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ujar Ahli Parlimen Baling itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sentiasa komited bagi memastikan bekalan tenaga elektrik di Sabah diuruskan oleh anak negeri secara berperingkat sepertimana kenyataan Menterinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bahawa kerajaan sedang meneliti pakej pengambilalihan dan akan menyambung rundingan selepas selesai Pilihan Raya Negeri.

“Walaupun kita percaya bahawa SESB perlu menjadi milik Sabah, tetapi kita merasa kecewa apabila seolah-olah digambarkan bahawa selagi pentadbiran kemudahan asas diuruskan oleh Persekutuan, maka rakyat Sabah akan terus menderita.

“Ia sesuatu yang salah dan boleh menimbulkan persepsi negatif dan kebencian antara Malaysia Timur dan Semenanjung. Hakikatnya, kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN) dahulu telah berjaya memperbaiki kemudahan asas di negeri tersebut secara sistematik dan berkesan.

“Sebagai contohnya, sebanyak RM26.4 bilion telah dibelanjakan sejak 20 tahun lalu bagi menambahbaik perkhidmatan bekalan elektrik di negeri Sabah. Kesannya antara tahun 2009 hingga 2016, kadar gangguan elektrik di Sabah menurun sebanyak 89%,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Abdul Azeez lagi, malahan pada tahun 2015 juga, kerajaan telah menubuhkan pasukan projek khas bekalan elektrik Sabah (SEPADU) bagi melaksanakan projek-projek bekalan elektrik berimpak tinggi di negeri tersebut dan WP Labuan dengan kos RM2.295 bilion.

“Semua ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan Persekutuan terutama di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dahulu dalam memastikan setiap rakyat tidak ketinggalan dalam pembangunan negara,” katanya.

Justeru itu, Abdul Azeez menyeru setiap ahli politik yang berkempen di PRN kali ini agar berhati-hati dalam ucapan mereka.

“Sebarang tindakan yang boleh menimbulkan retorik sentimen kenegerian adalah sesuatu yang patut ditolak kerana akan merosakkan perpaduan negara,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.