Tolak Orang Yang Menyusahkan, Pilih BN Demi Pembangunan, Seru Ahmad Zahid

KALABAKAN, 15 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak rakyat Sabah khususnya pengundi untuk menolak ‘orang’ yang telah menyusahkan rakyat sehinggakan pilihan raya negeri (PRN) terpaksa diadakan.

“Kenapa kita berkumpul… kerana ada pilihan raya… kerana apa… kerana ada orang yang menyusahkan kita dan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Oleh itu kita perlu tolak orang yang menyusahkan kita,” tegasnya.

Ujar Presiden UMNO itu, ada pihak menuduh BN mahu ‘tebuk atap’ untuk mendapatkan kerajaan Sabah sedangkan realitinya siapa yang bersikap demikian.

“Kenapa PRN diadakan semula… kerana mereka tuduh BN mahu ‘tebuk atap’ dan mahu ikut pintu belakang tapi siapa sebenarnya yuang bersikap demikian? Tahun 2018 BN dah angkat sumpah tapi kerana ada usaha ‘tebuk atap’ oleh mereka maka mereka berkuasa.

“Tak apalah… kita serahkan semula mandat kepada rakyat dan insya-Allah BN akan memerintah semula nanti.”

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, kerajaan BN dahulu sentiasa mahu membantu rakyat termasuklah dengan mewujudkan pelbagai pembangunan demi rakyat.

“Projek Mega (lebuh raya) Pan Borneo adalah untuk rakyat tapi apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya batalkan maknanya mereka nafikan hak rakyat Sabah dan samalah juga dengan menolak pembangunan untuk rakyat Sabah sendiri.

“BN wujudkan pembangunan untuk kemajuan rakyat tetapi apabila PH berkerajaan, kepentingan rakyat diketepikan, ramai yang tak ada kerja, ekonomi jatuh, ramai uusahawan tak ada kerja dan ini semua bermakna bahawa kepentingan rakyat Sabah diketepikan.

“Kita tidak mahu rakyat menderita, rakyat mahu rumah, mahu pekerjaan, mahu infrastruktur tapi kerajaan yang ambil alih sekat semua perkara untuk rakyat,” bidasnya lagi.

Terang Ahmad Zahid, PRN kali ini menyaksikan kelainan apabila buat kali pertama BN/UMNO menggunakan kuasa autonomi mereka sendiri.

“Inilah pertama kali kita berikan autonomi dan BN/UMNO Sabah menggunakan kuasa autonominya sendiri.

“Calon PRN ini adalah dari suara orang Sabah sendiri dan kita percaya kepada kebolehan orang tempatan malah kita berikan kuasa kepada orang Sabah untuk menentukan masa depan sendiri,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada anggota jentera yang memberikan sokongan kepada calon BN/UMNO khususnya anggota PAS Sabah.

“Walaupun Muafakat Nasional (MN) tak wujud di Sabah sokongan yang diberikan kepada calon BN/UMNO amat dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pertemuan bersama masyarakat dan jentera BN di PDM Keramat dalam DUN Tanjung Batu, malam tadi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.