Shafie Dibidas, Beri Muka Pihak Luar Persoal Kedaulatan Sabah


KUALA LUMPUR, 15 Sept – Sebagai pemimpin Sabah, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sepatutnya lebih tegas, bukannya cuba beri muka kepada pihak luar yang cuba mempersoalkan kedaulatan Sabah.

Demikian bidas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein sambil berkata pendirian Kerajaan Malaysia tetap kukuh tidak akan berunding atau melayan tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah.

“Perlu difahami, tuntutan Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah langsung tidak relevan. Malaysia TIDAK mengiktiraf tuntutan tersebut.

“Jadi, tiada sebab mengapa kita perlu berunding dengan mereka. Sekiranya kita buka ruang rundingan, itu bermakna Malaysia akui tuntutan tersebut mempunyai asas.

“Atau sebenarnya memang Shafie anggap tuntutan Filipina berasas? Soal Hishammuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Hishammuddin juga, sebelum ini beliau telah tegaskan banyak kali, tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak akan dilayan dan Sabah milik Malaysia buat selama-lamanya.

“Sebab itu, saya kecewa apabila Presiden Warisan, Shafie Apdal baru-baru ini mencadangkan agar Kerajaan Malaysia berunding dengan Kerajaan Filipina,” kesalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.