Program ‘Walkabout’ Calon Bertukar Jadi Gantung Bendera BN

TAWAU, 15 Sept. – Program ‘walkabout’ calon Barisan Nasionan (B) N70 Kukusan, Chaya Sulaiman bertukar menjadi acara pasang berdera apabila penduduk setempat menggantung bendera yang diterima.

Lebih bermakna apabila ada antara penduduk yang sanggup menukar bendera parti lain yang telah digantung terlebih dahulu dengan menurunkannya dan menukar kepada bendera BN.

Insiden ini dianggap sangat bererti bukan hanya kepada calon tetapi juga kepada jentera parti yang mengiringi Chaya ketika berkempen di Kampung Airport Lama, di sini, semalam.

Bagi penduduk setempat, Ansar Bogan, 42 berkata selama ini sokongannya adalah kepada BN dan tidak berubah namun apabila ada parti lain yang memberi bendera parti mereka terlebih dahulu maka digantungnya.

“Tapi saya sangat besar hati apabila calon BN sendiri datang dan menyerahkan kepada saya bendera parti yang memang saya inginkan. Saya ingat tak ada siapa akan beri bendera BN pada saya,” katanya.

Beliau yang turut ditemani anak dan isterinya, Siapsa Abidin, 43, dengan disaksikan oleh calon BN dan jentera setempat menurunkan sendiri bendera parti lawan dan menggantikannya kepada bendera BN.

Tindakan sama dilakukan oleh Andi Kamarudin, 46, yang menzahirkan sokongan kepada BN untuk kembali menjadi kerajaan di Sabah.

“Di kampung ini memang kami menyokong BN sejak dulu, kami tetap bersama BN walaupun kerajaan berubah dan kami berharap agar BN akan menang,” katanya.

Nara Jaafar, 33, yang turut menurunkan bendera parti lain yang lebih awal dipasangnya namun kemudian digantikan dengan bendera BN juga berharap BN akan menang.

“Kami mahu BN menang dan jika menang nanti kami harap agar BN tak lupakan kami, datanglah jenguk kami dan tentunya kami harapkan bantuan dari kerajaan,” katanya.

BN meletakkan Chaya iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan sebagai calonnya di DUN Kukusan

DUN Kukusan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Chaya Sulaiman (Barisan Nasional), Rina Jainal (Parti Warisan Sabah), Ismail @ Taufik Muin (Parti Cinta Sabah), Lee Boon King (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Wong Jin Soon (Parti Harapan Rakyat Sabah), Ismail Idris (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) dan Rosdiansah Mohd Nor (Parti Perpaduan Rakyat Sabah). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.