PRN Sabah: DUN Kemabong Tidak Asing Bagi Raimi, Rakyat Pilih BN

TENOM, 15 Sept – “Radu Tatap Radu… Radu Sampai Rata… BN Menang… BN Menang…” itulah antara ungkapan atau ‘war-cry’ yang bergema di Pusat Daerah Mengundi (PDM), salah satu PDM dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong yang diwakili calon Barisan Nasional (BN), Datuk Raimi Unggi.

Majlis ramah mesra beliau bersama jentera parti pelbagai peringkat dengan pengundi di kawasan berkenaan ternyata cukup meriah dan amat membanggakan setelah pelbagai kumpulan umur setia menanti kehadirannya.

Raimi yang sebelum ini mewakili masyarakat setempat untuk Parlimen Tenom kali ini bertanding di DUN berkenaan dan berada pada kedudukan nombor empat senarai calon bertanding pada 26 September depan yang mana akan berdepan dengan lima lagi calon lain.

Beliau ketika ditemui UMNO-Online menyifatkan Kemabong tidak asing bagi beliau kerana sebelum ini turut mewakili kawasan berkenaan serta DUN Melalap yang berada di bawah Parlimen Tenom.

‘’Insya-Allah saya akan terus bekerja untuk rakyat. Kepada pengundi seluruh rakyat Sabah… jangan lagi salah pilih… kita ubah balik dan kita betulkan bersama-sama dan hasrat ini… kita mesti buat kerana cukup selama 22 bulan atau dua tahun lebih mereka memerintah tidak ada perkara yang mereka telah selesaikan demi kepentingan rakyat apatah lagi dengan sekarang ini wabak COVID-19 masih lagi bertebaran di luar sana.” ujarnya.

Beliau berharap dengan kebijaksanaan rakyat di Kemabong khususnya, maka akan sama-sama beroleh kemenangan.

‘’Saya telah bertanding di peringkat Parlimen selama tiga penggal untuk mewakili rakyat. Sepanjang pengalaman sebagai wakil rakyat Parlimen bagi kawasan DUN Kemabong dan Melalap ini, ianya adalah cukup sinonim dengan saya.

‘’Jadi insya-Allah kita angkat lagi gerak kerja kita… sudah tentu kita menyedari kelemahan yang kita alami dan kita akan perbetulkan. Yang pasti kita akan bekerja demi rakyat untuk DUN Kemabong dan saya mewakili calon di peringkat Kemabong pertama sekali insya-Allah rakyat Kemabong akan memilih BN sebagai suara mereka untuk dibangkitkan di dalam DUN kelak,’’ ujarnya.

Raimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah seterusnya berharap seluruh calon yang ditampilkan atau diketengahkan oleh parti akan mendapat kepercayaan pengundi di semua DUN yang dipertandingkan termasuklah rakan-rakan parti gabungan rakyat yang lain.

‘’Melihat kepada senario rakyat di bawah kita merasakan rakyat memilih untuk ubah… menukar kerajaan yang gagal hari ini dan Insya-Allah hasrat rakyat ini akan kita pikul, akan kita lestarikan dan akan kita bawa…. Insya-Allah calon-calon yang ditampilkan mampu mencapai kemenangan,’’ ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.