PRN Sabah Cukup Penting… Negeri Dan Kerajaan Persekutuan Mesti Sehaluan – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 15 Sept – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah cukup penting untuk memastikan bahawa kerajaan negeri mestilah sehaluan dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan dan kebajikan negeri Sabah itu sendiri.

Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata walaupun Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal membuat perbandingan dengan Pulau Pinang yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan, namun ianya cukup berbeza sama sekali.

Ini kerana menurut beliau Pulau Pinang  tidaklah sebesar negeri Sabah dan negeri di bawah bayu yang merupakan sebuah kawasan yang luas sudah pasti memerlukan pelbagai peruntukan dan sebagainya lagi untuk masa depan rakyat negeri tersebut.

‘’Jadi kalau kita tersalah pilih Warisan, Dap, PKR, UPKO maka kita telah menyebabkan generasi akan datang akan sukar hidup mereka kerana Sabah tidak dapat dimajukan sepenuhnya. Oleh itu kerajaan negeri mesti sehaluan dengan kerajaan pusat dan kaedahnya ialah dengan  memilih calon-calon daripada BN, calon-calon daripada PN dan juga calon-calon daripada PBS.

‘’Ini adalah satu ‘team’ yang dipanggil sebagai Gagasan Rakyat Sabah dan kita kena pilih calon-calon BN, PN dan PBS untuk menubuhkan kerajaan baru yang sehaluan dan selari dengan kerajaan persekutuan. Kerajaan persekutuan mempunyai dana yang mencukupi untuk membangunkan negeri ini dan tentunya sehaluan lebih mudah untuk kita membangunkan negeri Sabah,’’ katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau bersama pimpinan BN Sabah yang lain beramah mesra bersama pengundi di PDM Buang Sayang, DUN Pantai Manis, di sini malam tadi.

Ahmad Maslan turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang bertungkus lumus dalam membantu kemenangan calon yang diketengahkan oelh parti.

‘’Kita mendapat laporan dari semasa ke semasa dan setakat ini kita gembira dengan perpaduan yang berlaku walaupun  ketua-ketua di satu tempat itu tidak mendapat  tempat sebagai calon…mereka membantu dengan penuh komited dan penuh dengan muafakat dan ini  satu perkara yang amat menggembirakan.

‘’Saya merakamkan ucapan tahniah kepada pemimpin-pemimpin ini. Sebagai contoh di Papar ini, saudara Jamal merupakan Ketua UMNO bahagian dan timbalan beliau dicalonkan untuk DUN Pantai Manis..walaupun begitu beliau membantu dengan rapat calon ini. Dan begitu juga kawasan-kawasan lain dan ini amat menggembirakan,’’ ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.