PRN Sabah: BN Mesti Cipta Kemenangan, Kerja Kuat Dan Manfaatkan Peluang Yang Ada – Dr Shamsul

KOTA KINABALU, 15 Sept – Hanya satu sahaja pilihan yang ada kepada UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, iaitu mencipta kemenangan, ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Tegas Pengarah Komunikasi BN pusat itu, jika UMNO/BN gagal di PRN tersebut, ia menyukarkan perjuangan parti di masa hadapan.

“Dari itu kita mesti manfaatkan peluang yang ada. Kerana apa yang kita inginkan selama ini untuk kembali mengambil alih negeri Sabah sudah tiba. Kita mesti bersama melakukannya.

“Namun, ianya tidak mudah kalau kita tidak bekerja kuat kerana tiada jalan mudah untuk mencipta kemenangan kali ini. Apatah lagi politik di Sabah kini sangat dinamik. Landskapnya berubah begitu ketara.

“UMNO/BN mesti menyesuaikan pendekatannya seiring dengan perubahan ini. Jika tidak, kita akan jauh tinggal di belakang,” ujarnya yang hadir berkempen di majlis bersama rakyat di Pulau Gaya, di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, di sini, Isnin.

Justeru, tambah Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu, jentera mesti bijaksana dalam semua keadaan.

“Pendekatan dan cara baru yang luar dari kebiasaan mesti dilakukan oleh kita di semua peringkat.

“Dan kita juga mesti menerima realiti baru politik ketika ini terutama kerjasama BN dengan Perikatan Nasional (PN).

“Kita mesti ketepikan segala perkara yang boleh menghalang kemenangan kita. Tumpuan sepenuhnya semua kepimpinan pelbagai peringkat dalam tempoh ini sehingga 26 September ini mesti ke arah kemenangan parti,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Shamsul yakin parti mampu menang jika bersama melakukannya.

“Namun kita mesti berusaha yakinkan rakyat agar bersama dan menyokong kita,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.