PN Berdaftar RoS, BN Tetap Beri Sokongan Berdasarkan Ahli-ahli Parlimen – Zahid

KALABAKAN, 15 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan bahawa BN memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) berdasarkan sokongan ahli-ahli Parlimennya.

Namun begitu katanya, BN terutamanya UMNO bukan parti komponen kepada PN.

“Itu telah saya jelaskan beberapa kali dan keputusan itu dibuat berdasarkan kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya kepada wartawan dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan calon BN di DUN Kukusan dan Tanjung Batu sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, malam tadi.

Katanya, tidak ada satu parti pun dalam BN yang menyertai PN kerana BN terdiri dari empat parti iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS.

“Keempat-empat parti ini bukanlah gabungan dalam PN tetapi hanya ahli-ahli Parlimen kami menyokong kerajaan PN sebagaimana yang telah kami kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong ketika akuan bersumpah dibuat untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin  (Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana menteri.

“Walaupun kami bukan parti dalam gabungan PN tapi jelas bahawa kerjasama di PRN ini terjalin dengan cukup baik malah kami juga membuat penyelarasan di peringkat negeri yang kami turunkan di peringkat DUN dan juga di PDM (Pusat Daerah Mengundi).

“Apa yang amat melegakan hati saya ialah PAS walaupun Muafakat Nasional (MN) itu tidak didaftarkan dan MN itu merupakan gabungan yang longgar tetapi semangat PAS untuk membantu calon-calon BN dan PN jelas dengan keberadaan pemimpin-pemimpin PAS dalam kempen-kempen yang dibuat oleh parti-parti yang bertanding dalam PRN Sabah,” katanya.

Dilaporkan, hari ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) memaklumkan bahawa pendaftaran parti PN telah diluluskan dan berkuat kuasa pada 7 Ogos 2020 di bawah kategori politik selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.