Parti Warisan Tak Pernah Bantu Persatuan, Berbeza Dengan BN – Presiden PRBM

TAWAU, 15 Sept – “Kalau dulu kerajaan Barisan Nasional (BN) menyokong persatuan dan memberikan sokongan moral serta bantuan yang diperlukan tetapi sejak kerajaan beralih kepada Parti Warisan tidak ada apa-apa bantuan malah sebarang pertemuan pun tidak pernah diadakan.”

Demikian ungkap Presiden Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBM), Datuk Samsul Alang Hamsah yang menyuarakan rasa terkilannya terhadap Parti Warisan selepas menerajui Negeri Sabah apabila kerajaan beralih dari BN.

Ujarnya, persatuan terbabit bukan parti politik tetapi ditubuhkan untuk mengekalkan suku etnik Bugis itu sendiri sebagaimana Sabah yang sememangnya mempunyai pelbagai suku kaum etnik.

“Kita sebenarnya dalam persatuan ini tidak kisah berkaitan kerajaan kerana kita tidak berpolitik tapi kita memang menyuarakan apa pendapat dari persatuan ini. Ada bantuan kita syukur tapi kalau tak ada pun kita tetap teruskan perjuangan ini.

“Selepas kerajaan beralih dari BN ke PH/Warisan agak susah juga kerana pergerakan kita terhad dan agak sukar tapi kami tidak berpandukan atau berharapkan kerajaan sepenuhnya sebaliknya saling menyokong dikalangan ahli-ahli sendiri,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, tingkah Parti Warisan amat berbeza dengan BN yang sentiasa menyokong pergerakan persatuan-persatuan termasuklah PRBM sendiri.

“Sehingga ke hari ini pun persatuan kami tidak pernah dapat apa-apa bantuan dari Parti Warisan yang menjadi kerajaan. Dulu waktu kerajaan BN ada juga pertemuan-pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tapi sejak kerajaan Warisan memerintah sehingga kini tak pernah pun mereka memandang kepada persatuan-persatuan.

“Yang saya dapat tahu memang kerajaan Warisan tidak ada beri bantuan kepada persatuan-persatuan berbanding BN yang banyak hulurkan bantuan yang mana bantuan ini kita salurkan kepada anak-anak sekolah dan golongan miskin. Ini kerana tak semua orang Bugis di sini senang tapi ramai juga yang susah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berlangsung sekarang ini, masyarakat Bugis melalui PRBM dapat menentukan hala tujunya.

“Kita harap ahli-ahli persatuan ini dapat menentukan hala tuju dan mudah-mudahan akan ada perubahan pentadbiran dalam kerajaan akan datang. Insya-Allah saya ingat BN tidak akan lupakan persatuan, bukan hanya PRBM tetapi persatuan-persatuan yang lain juga.

“Harap masyarakat Bugis dapat berikan sokongan padu kepada BN apatah lagi di DUN Tanjung Batu dan DUN Kukusan ini ramai melibatkan masyarakat Bugis dan bukan kerana kita rasis tapi majoritinya komuniti di sini adalah dari masyarakat Bugis sendiri,” katanya yang memberikan sokongan kepada calon DUN Kukusan, Chaya Sulaiman yang juga dari etnik Bugis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.