Jangan Politikkan Kedaulatan, Bukan Kerana ‘Sabah For Sabahan’ Tapi Demi Malaysia – Zahid

KALABAKAN, 15 Sept. – “Jangan mempolitikkan soal keselamatan dan kedaulatan sebaliknya berikan keutamaan demi kepentingan keseluruhan rakyat kerana Sabah sebahagian dari Malaysia.”

Demikian tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dengan usaha pihak tertentu yang mahu menuntut Sabah.

Katanya, soal keselamatan bukan satu tanggungjawab yang kecil dan ia adalah soal kerajaan Persekutuan yang mempunyai amanah membantu semua negeri tanpa memihak kepada mana-mana pun sama ada pembangkang atau tidak.

“Satu tak dapat saya lupakan iaitu peristiwa di Lahad Datu. Ketika itu kita terpaksa ambil tindakan nekad untuk tentukan Sabah terus dijaga dan dipertahankan sebab kita tak mahu penceroboh masuk Sabah.

“Ketika itu ada seakan perancangan licik, kononnya Sabah adalah sebahagian Filipina namun kita pertahankan dan yang pertahankannya bukan hanya ‘Sabah for Sabahan’ tetapi kami juga orang Semenanjung,” ujarnya.

Baru-baru ini di Manila ada menyebut soal tuntutan Sabah perlu dihidupkan semula namun Zahid menegaskan soal Sabah tidak ada lagi rundingan.

“Itulah sebabnya PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) sudah iktiraf Sabah adalah sebuah negara merdeka di bawah Malaysia.

“Apabila pencerobohan dilakukan, kita merasakan bahawa harus turun ke Sabah dan pergi ke ‘ground zero’ dan walaupun saya adalah orang Semenjung tapi saya bertanggungjawab pertahankan tanah air kita kerana Sabah adalah sebahagian dari Malaysia.

“Adakah pihak tertentu dengan mengatakan tidak mahu parti Semenanjung, sedangkan BN ini adalah parti yang memerintah dahulu. Saya dari mana… dia pun dari mana… begitu juga PKR … Dap, Amanah dari mana?

Jelas beliau, apabila bercakap soal Sabah ini bukanlah soal Malaya atau Semenanjung tapi membabitkan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“BN berikan kuasa autonomi, maknanya calon-calon dipilih oleh UMNO/BN Sabah.. tidak ada campurtangan dari Semenanjung kerana kita yakin kepada pengerusi BN Sabah.

“Bukan hanya calon dipilih boleh oleh orang Sabah tapi penentuan calon Ketua Menteri Sabah juga dipilih oleh orang Sabah sendiri… bukan orang Putrajaya sendiri.

“Pendirian kita tegas bahawa setelah mempunyai kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan maka berundinglah dikalangan mereka untuk memilih Ketua Menteri sendiri,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pertemuan bersama masyarakat dan jentera BN di PDM Banyan, Taman King Fook DUN Kukusan, Kalabakan, Isnin malam.

Turut hadir Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bersama calon BN DUN Kukusan, Chaya Sulaiman dan calon BN DUN Tanjung Batu, Andy Suryadi Bandy. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.