Graduan Al Azhar, Bekas Pegawai Daerah Kecil Membakut Sedia Berkhidmat Di Bongawan

KIMANIS, 15 Sept – Bekas Pegawai Hal Ehwal Islam yang pernah menjadi imam sekitar Bongawan, Ag Lahap Ag Bakar  @  Ag Syairin menyifatkan pertembungannya bersama saudara termasuklah bekas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu pertembungan biasa.

Apa yang yang penting katanya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan mempunyai kata pemutus siapakah calon yang layak untuk diangkat sebagai wakil rakyat mereka pada 26 September ini.

Beliau yang merupakan bekas Pegawai Daerah Kecil Membakut membuat keputusan bersara awal daripada jawatan yang disandang dalam usaha menabur khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan Bongawan.

‘’Walaupun beliau (Anifah Aman)  merupakan bekas ahli parlimen di sini, saya yakin dan percaya pengundi di sini akan membuat penilaian terhadap beliau sepanjang menjadi ahli parlimen di sini. Saya yakin kepada kebijaksanaan pengundi,’’ katanya kepada UMNO-Online.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau yang berkelulusan daripada Universiti Al Azhar, graduan Usuluddin pengkhususan Dakwah dan Tamadun Islam seterusnya menambah masing-masing ada kekuatan dan apa yang penting sepanjang kempen yang berlangsung sudah pasti menemui seramai mungkin pengundi untuk meyakinkan mereka mengundi BN pada 26 September nanti.

‘’Saya adalah anak jati Bongawan…dengan pengalaman yang ada sebelum ini serta dengan faktor kekeluargaan di kawasan ini insya-Allah pengundi akan menterjemahkan sokongan mereka kelak dan kita berserah kepada Allah SWT selepas kita berusaha dan berikhtiar,’’ ujarnya.

Ditanya mengenai kempen untuk meyakinkan pengundi setempat, beliau menjelaskan sebelum ini pun seringkali keluar masuk ke kawasan DUN Bongawan sebagai penjawat awam dan aktiviti kemasyarakatan lain.

‘’Pendekatan kempen kita tertumpu kepada pengundi dan sebelum ini pun saya sering masuk ke kawasan Bongawan sebagai penjawat awam… telah bersama masyarakat dan sehingga ke hari ini pun saya bertemu muka dengan pengundi dari rumah ke rumah dan kampung ke kampung. Insya-Allah ianya akan membuahkan hasil nanti,’’ tambahnya.

Selain dari Anifah yang mewakili parti Cinta Sabah (PCS), beliau turut berdepan dengan penyandang kawasan tersebut dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Dr Daud Yusuf, dan Mohd Azree Abd Ghani mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP). – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.