Demi Pembangunan Rakyat, Menangkan BN Di Sabah Agar Selari Kerajaan Pusat – Zahid

 

TAWAU, 15 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi-pengundi untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah agar selari dengan kerajaan pusat demi kemajuan dan pembangunan rakyat di negeri berkaitan.

Ujarnya, rakyat Sabah juga harus dibela dan diberikan hak sama rata dalam aspek pembangunan.

“Jika kerajaan negeri tidak selari dengan kerajaan pusat, ada pula pemimpinnya yang sombong terhadap kerajaan pusat maka yang menjadi mangsa adalah rakyat Sabah sedangkan semua rakyat seharusnya mendapat pembelaan,” katanya.

Dalam hal ini beliau yang juga Presiden UMNO memberikan analogi bagaimana dalam sebuah keluarga seorang ayah atau ibu biarpun bersikap adil kepada semua anak-anak namun akan tetap memberikan kelebihan kepada anak yang lebih berbuat baik dan membantu kepada mereka.

“Kita perlu memenangkan calon BN, dan di DUN Balung ini kita ada calon yang cukup berpengalaman dan cukup dikenali oleh masayarakat di sini kerana telah lama membantu ADUN-ADUN sebelum ini berkhidmat di sini.

“Bayangkan, jika sebelum menjadi ADUN pun sudah banyak membantu masyarakat di sini maka tentunya jika menjadi calon kelak tentulah lebih mudah lagi beliau mahu melaksanakan tugasnya,” katanya yang merujuk kepada Hamild @ Hamid Awang selaku calon bagi DUN Balung.

Beliau berkata demikian dalam Program Mesra PPR Taman Sri Balung yang diadakan sempena kempen PRN Sabah, hari ini.

Berkaitan dengan perjalanan kempen sepanjang empat hari sejak penamaan calon Sabtu lalu, Zahid memaklumkan bahawa beliau dan rakan-rakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bukan hanya memantau prestasi kempen.

“Alhamdulillah saya dan rakan-rakan MKT sedang memantau bukan hanya prestasi kempen yang dijalankan oleh jentera BN di seluruh 41 kawasan DUN yang diwakili oleh calon-calon BN tetapi kita juga melihat tentang trend sokongan kepada calon-calon kita bukan hanya melalui kempen konvensional tetapi melalui kempen-kempen komunikasi tanpa lisan atau non-verbal communication.

“Dalam hal ini kita memantau tentang berapakah jumlah ahli-ahli UMNO bagi tiap-tiap kawasan DUN itu… kita melihat perinciannya melalui PDM. Kebolehmenangan ini bukan hanya boleh bergantung kepada ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli BN atau juga ahli-ahli rakan kongsi dalam politik tetapi kita lihat bahawa trend keseluruhannya pengundi-pengundi di Sabah mahukan supaya BN dan rakan kongsi politik memerintah kembali negeri Sabah.”

Jelas beliau, beberapa pendekatan telah diambil dan diharap pendekatan ini akan memberikan kelebihan kepada calon-calon BN.

“Kita berusaha sedaya upaya yang mungkin agar trend ini berterusan hingga pada 26 Sept. Kita membahagikan kepada beberapa kategori, tentunya kita mengharapkan kemenangan di kesemua yang ditandingi namun usaha-uasaha yang berlipat ganda dengan lebih serius mesti diberikan kepada kawasan tumpuan dan kami merasakan insya-Allah ada tempat-tempat di kawasan tumpuan itu akan menang.

“Kita lihat ada keseimbangan, bukan hanya soal sentimen tapi fakta dan statistik yang bukan hanya di atas kertas tetapi juga apabila jentera kita turun ke akar umbi apabila bertemu calon-calon yang ada,” katanya lagi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah calon BN DUN Balung, Hamild Awang; Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli MKT, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan juga Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazali Ansing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.