Buka Pintu Rundingan: Shafie Beri Masalah Berpanjangan Buat Sabah, Malaysia – Najib

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berpandangan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah melakukan kesilapan besar yang akan memberi masalah berpanjangan kepada Sabah dan Malaysia.

Kata Najib yang merujuk sebuah laporan media, pada 28 Ogos, secara tiba-tiba Ketua Menteri Sabah itu mengeluarkan kenyataan mahu rundingan dengan negara Filipina dilakukan untuk menyelesaikan tuntutan Filipina untuk mengambil Sabah.

“Bila dia kata demikian, Shafie telah memberi asas (atau legitimacy) kepada tuntutan Filipina ini.

“Benda ini paling fundamental dalam diplomasi. Tapi dia buat salah pulak – entah dengan sengaja atau tidak.

“Shafie tak faham bahawa bila Ketua Menteri secara rasminya sebut boleh runding maksudnya ada ruang untuk ]settle’ dengan pelbagai pampasan lain yang boleh dituntut oleh mereka,” bidas Perdana Menter Keenam itu dalam satu hantaran di Facebook.

Najib turut menimbulkan persoalan adakah boleh berbincang bermaksud ia boleh ‘diselesaikan’.

“Sebab itu, kerajaan BN tak pernah layan dan tak pernah mahu berunding tentang tuntutan rasmi negara Filipina sehingga mereka tutup ‘office’ tuntutan mereka pada tahun 1970-an.

“Kerana kita tidak merestui tuntutan itu.

“Sepanjang tempoh sembilan tahun saya jadi PM (Perdana Menteri), kerajaan Filipina tak pernah bangkitkan isu tuntutan Sabah ini. Yang tuntut cuma keluarga Kiram,” katanya lagi.

Begitu juga ulas Najib, tidak sampai empat hari selepas Shafie buat kenyataan mengejut serta tidak pandai itu, kerajaan Filipina mengumumkan mereka akan membuka semula pejabat kerajaan (yang telahpun tutup lebih 30 tahun) untuk tuntut Sabah secara rasmi.

“Kesan dari pembukaan semula pejabat Filipina ini akan menyebabkan pelbagai pergaduhan, masalah dan ancaman keselamatan kepada negara bagi jangkamasa panjang yang akhirnya akan merugikan Sabah dan Malaysia,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.