Andi Ajak Rakyat Buat Perbandingan, Pilih BN Yang Terbukti Lebih Baik

KALABAKAN, 15 Sept. – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N71 Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy mengajak rakyat untuk melakukan penilaian dan membuat perbandingan dengan bijak berkaitan kerajaan Warisan yang memerintah lebih 26 bulan dengan kerajaan terdahulu iaitu BN.

Katanya, dalam berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, rakyat tidak boleh tersalah pilih dan perlu ubah balik.

“27 bulan di bawah Warisan… kiraan statistik saja sudah jelas menunjukkan kedudukan ekonomi Sabah yang jatuh menjunam. Jika dahulu sangat membanggakan tapi dua tahun ini apa yang kita dapat… pembangunan terbantut dan ekonomi jatuh,” katanya.

Tegas beliau, mandat kuasa berada di tangan rakyat dan rakyat tentunya tidak mahu salah ubah.

“Pilihlah parti dan calon yang boleh membawa suara anda. Sudah jelas ia adalah BN,” ujarnya yang berucap dalam majlis perjumpaan jentera dan pengundi bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di PDM Banyan, Taman King Fook DUN Kukusan, Isnin malam.

Andi turut menyorot persoalan kenapa berlakunya beralih arah di kalangan anggota DUN pada 2018.

“Ketika itu jawapan mereka mahu selari dengan kerajaan pusat yang dimenangi oleh PH dan kali ini siapa kerajaan pusat? Kita lihat bukan lagi PH dan BN berada bersama-sama PN, maka sudah jelas BN yang patut disokong.

“Kita perlu selari dengan kerajaan pusat maka apa yang penting kita kalahkan Warisan dan tetapkan undi untuk BN,” katanya lagi.

Terdahulu, calon DUN N70 Kukusan, Chaya Sulaiman turut menyampaikan ucapannya yang mengajak rakyat khususnya pengundi untuk menetapkan sokongan terhadap BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.