Pelbagai Provokasi Dibuat Musuh-Musuh Islam, Namun MN Tetap Kukuh – PAS K. Kangsar

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kangsar, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah merasa syukur walaupun Muafakat Nasional (MN) masih baharu tetapi rakyat ingin melihat penyatuan ummah ini berterusan serta membela nasib khususnya agama Islam.

Jelas beliau, dua parti besar orang Melayu iaitu UMNO dan PAS dengan setulus hati telah bekerjasama serta mengisytiharkan pembentukan MN apabila melihat orang Melayu semakin berpecah.

“Saya rasa bertuahnya rakyat Malaysia apabila sekian lama orang Melayu berpecah, UMNO dan PAS akhirnya bersatu walaupun cabaran dan pelbagai provokasi yang dibuat oleh musuh-musuh supaya tidak ada gabungan dan kita tetap bergabung dalam tempoh setahun yang berlalu.

“Kita lihat inilah satu gambaran bahawa musuh-musuh Islam khususnya yang selama ini diperjuangkan oleh PAS dan Alhamdulillah… parti UMNO juga telah meletakkan dasar Islam dihadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Justeru, tambah Khalil Idham lagi, gabungan MN ini tidak akan menafikan hak bangsa lain dan akan mempertahankan hak ajaran agama dan dianggap satu akidah, ia harus dipertahankan. 

“Bila Islam ditegakkan di muka bumi ini, segala bangsa yang ada di seluruh pelusuk dunia, bangsa lain tidak akan menindas orang Islam walaupun ia majoriti dengan maksud bukan Islam sangat sedikit atau minoriti,” katanya.

Dalam pada itu beliau mengharapkan bahawa strategi dan penyelesaian segala permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

“Apa masalah yang berlaku, apa tindakan dan dasar yang nak kita lakukan tidak perlu diadakan dalam polemik media yang memperlihatkan tidak ada kematangan dan tidak dapat menyelesaikan masalah.

“Segala perancangan dan apa jua perutusan besar yang diputuskan bawalah ke perbincangan dengan baik demi masa depan rakyat, jangan sampai kenyataan yang berbeza didalam media hinggakan musuh-musuh mengambil kesempatan dan rakyat melihat kita berpecah,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.