Muafakat Nasional Adalah Satu Wadah Penyatuan Bangsa – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Muafakat Nasional (MN) adalah satu wadah penyatuan bangsa untuk kepentingan orang Melayu dan Islam namun tidak sama sekali mengenepikan kepentingan kaum lain.

Ujar beliau, MN ini juga diwujudkan bukan semata-mata kerana gerakan politik tetapi ia adalah satu usaha untuk memastikan wujudnya perpaduan, nilai kebangsaan dan kesejahteraan sosial.

“Saya percaya, kita tidak akan pernah lupa apa yang menjadi punca MN ini diwujudkan. Ia adalah merupakan dua tahun titik hitam dalam sejarah negara dan bangsa di mana wujudnya gerakan anti Melayu Islam yang akhirnya mengundang kepada penyatuan UMNO dan PAS dalam MN.

“MN ini diwujudkan bukan semata-mata kerana gerakan politik tetapi ia adalah satu usaha bagi memasukan wujudnya perpaduan, wujudnya nilai kebangsaan dan wujudnya kesejahteraan sosial.

“Tapi yang paling penting ialah ia dijadikan sebagai satu platform nasional yang memberi daya perjuangan kebangsaan dan memartabatkan Islam. Atas sebab itu, saya percaya dan pasti UMNO akan terus memberi komitmen dan menterjemahkan MN dan kita berharap malah percaya PAS juga sedemikian,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Khaled, paling penting adalah perjuangan MN difahami dan kaum lain harus tahu walaupun MN memperjuangkan orang Melayu dan Islam namun ia tidak sesekali mengenepikan bangsa lain.

“Sebab itu kita harus memberi kefahaman kepada rakyat agar MN diterima oleh semua pihak tanpa mengira agama dan bangsa.

“Selamat ulang tahun MN yang ke setahun,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO dan PAS yang selama ini bercakaran, mula senada demi kepentingan Melayu dan Islam.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kesucian agama Islam dan hak-hak orang Melayu mula dipertikaikan. Atas sebab itu, UMNO dan PAS akhirnya bekerjasama dalam satu penyatuan yang diberi nama MN.

Bagi mengukuhkan lagi kerjasama ini, satu piagam antara kedua-dua parti akhirnya dimeterai pada 14 September 2019. Detik bersejarah ini disaksikan oleh raturan ribu umat Islam baik yang berada di dewan keramat Dewan Merdeka, PWTC, di sini mahupun menyaksikan secara langsung menerusi media sosial.

Impak daripada kerjasama ini, UMNO dan PAS dilihat semakin kukuh dan dipercayai rakyat dan ini diterjemahkan melalui beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang semuanya memihak kepada calon MN.

Bermula di PRK Parlimen Cameron Highlands dan terbaru di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, semuanya dimenangi oleh calon BN yang membawa nama penyatuan MN.

Diharapkan keutuhan kerjasama ini mampu diterjemahkan pula kepada agenda lebih penting iaitu dalam PRU-15 nanti. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.