Momentum Sokongan Kepada Calon BN Semakin Meningkat

SANDAKAN, 14 Sept – Kehadiran 161 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Libaran membuktikan sokongan padu terhadap tiga calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, DUN Sungai Sibuga dan DUN Sungai Manila.

Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Haji Nasir berkata perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan ini turut dihadiri oleh kesemua calon BN yang bertanding di tiga kerusi DUN di dalam Parlimen Libaran.

“Ketua-ketua cawangan yang hadir ini sangat bersemangat untuk merampas semula kerusi BN bagi DUN Gum-Gum, DUN Sungai Sibuga dan DUN Sungai Manila yang baharu diwujudkan,” katanya.

Suhaimi yang juga calon BN bagi kerusi DUN Gum-Gum menyifatkan perjumpaan itu adalah untuk merapatkan kekuatan BN di Libaran.

“Saya juga telah menyuntik semangat juang yang tinggi kepada ketua-ketua cawangan hadir agar terus berjuang dalam memberi kemenangan kepada ketiga-tiga calon BN di Libaran ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Ketua-Ketua Cawangan UMNO Bahagian Libaran di sebuah hotel di Batu 7, di sini hari ini.

Turut hadir majlis itu, calon BN DUN Sungai Manila Mokran Ingkat dan calon BN Sungai Sibuga Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain.

Ketua UMNO Bahagian Libaran itu turut menegaskan semangat juang yang tinggi 161 ketua cawangan ini telah menyangkal isu-isu yang berlalu demi perjuangan dan kemenangan parti BN.

“Tidak perlu lagi diulas lanjut isu yang berlaku sebelum ini kerana itu hanya salah faham dan lapan cawangan lagi adalah tidak aktif.

“Saya telah mengarahkan semua ketua cawangan agar terus maju ke hadapan, bekerjasama, berganding bahu dan merapatkan shaf bagi memberi kemenangan BN,” katanya.

Suhaimi berkata momentum sokongan pengundi terhadap calon-calon BN di Libaran selepas penamaan calon telah meningkat kepada 52 peratus dan momentum sokongan ini akan meningkat dijangka kepada 80 peratus apabila tiba masa pengundian pada 26 Sept ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan sokongan parti sekutu seperti Perikatan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) amat tinggi dan menyambut baik untuk terhadap calon-calon BN.

“Kehadiran para pemimpin dan ahli-ahli dari rakan sekutu telah membantu kita, seperti di majlis pelancaran jentera BN,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.